MALAYSIAKINI
Malindo Air mengesahkan penerbangan OD206 dari New Delhi, India ke Kuala
Lumpur pagi ini dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don
Mueang di Bangkok, Thailand disebabkan masalah teknikal.
Pesawat yang sepatutnya tiba di klia2 pada 5.25 pagi itu mendarat dengan
selamat pada 2.45 pagi waktu Thailand dan tiada kecederaan dilaporkan,
kata Malindo Air dalam satu kenyataan.
Penerbangan yang dioperasikan oleh pesawat Boeing 737-900ER itu berlepas
dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi pada 10.05 malam waktu
tempatan
membawa 121 penumpang termasuk tiga bayi, dan lapan anak kapal.
"Sebaik mengenal pasti masalah teknikal, kru operasi melaksanakan
senarai semakan kecemasan menurut prosedur operasi standard dan
memaklumkan kepada menara kawalan trafik udara sebelum menukar haluan ke
Don Mueang.
"Kebajikan penumpang kini dijaga oleh Thai Lion Air dan usaha sedang
diambil untuk menerbangkan mereka ke Kuala Lumpur menerusi satu
penerbangan yang
dijadualkan pada 3.45 petang ini waktu Thailand," kata kenyataan itu.
Malindo Air berkata pihaknya sedang meneliti punca masalah teknikal itu
dan perkara berkenaan sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan
termasuk pengeluar. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan