Jumaat, 21 November 2014

‘Kebiadapan kapitalis’ bakal ulangi tragedi Cameron Highlands




Oleh MOHD ARIF JUHANI 


TANGGAL 5 November 2014, Cameron Highlands sekali lagi ditimpa musibah tanah runtuh dan banjir kilat sehingga mengakibatkan lima nyawa terkorban.Apakah ada iktibar yang sudah diambil oleh kerajaan dan masyarakat seluruh negara?

Jawapannya walaupun banyak dan pelbagai tetapi semuanya dijangka lebih bersifat pesimis. Pada masa yang sama, pakar-pakar dari pelbagai institut dalam bidang berkaitan seperti keselamatan, alam sekitar, pembangunan dan sebagainya turut dijemput media untuk membuat ulasan yang lebih teknikal sifatnya.

Ketika kerajaan, kementerian serta agensi tertentu berhempas- pulas mencari alasan untuk menenangkan para penduduk terlibat, pembangkang pula menjadikan isu itu sebagai peluru untuk terus menyerang dasar kerajaan yang menyebabkan tragedi  berkenaan berlaku.

Selepas keadaan kembali reda manakala mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, apa yang pasti, semuanya akan kembali hidup seperti tiada apaapa bencana yang menimpa sebelum ini.

Hal ini tentulah sesuatu yang sinis seperti sindiran pengamal media, Sayed Munawar dalam laman sosial Facebooknya pada 12 November lalu yang berkata: “Jika jadi lagi banjir Cameron, sila rujuk youtube Bual Bicara semalam. Soalan dan jawapan sama. Tak perlu bual bicara baru.”

Apa yang perlu difahami, tragedi seumpama ini bukanlah sesuatu yang baharu. Apa yang berlaku bukanlah eksklusif di Cameron Highlands semata-mata, malah di banyak kawasan dalam negara pernah berdepan tragedi berkenaan.

Cameron Highlands juga menyaksikan kejadian yang sama berlaku pada 23 Oktober tahun lalu yang mengakibatkan tiga warganegara asing maut selain kemusnahan harta benda dan kediaman.

Jika dilanjut tragedi yang sama ke seluruh negara, ternyata Malaysia bukan negara yang asing daripada kejadian tanah runtuh dan banjir kilat.

Bermula dengan tragedi tanah runtuh di Highland Towers pada 1993, dianggarkan lebih sepuluh kejadian yang sama berulang termasuklah di Sandakan pada 29 Januari 2011.

Dalam kejadian itu, hujan berterusan menyebabkan perumahan di lereng bukit Kampung Gelam Runtuh, Bandar Ramai-Ramai serta Kampung Sundang Darat ditenggelami banjir dan tanah runtuh sehingga dua nyawa dilaporkan terkorban.

Namun selepas semua kejadian itu dibentangkan dalam media, ternyata kerajaan dan syarikat pemaju masih buta hati dan terus degil untuk membawa projek pembangunan mewah di kawasan bukit.

Gagal ambil iktibar

Contohnya, di sekitar kawasan Highland Towers iaitu Ampang. Jika melalui Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), kita boleh melihat pelbagai projek perumahan elit ditawarkan melalui papan- papan iklan di kawasan berkenaan.

Walhal, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, semasa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 2008, sudah membuat kenyataan yang nada retoriknya menekankan kononnya tiada lagi pembangunan yang dibenarkan di kawasan bukit.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada pemaju untuk tidak melobi kelulusan dari pihak kerajaan.

Tetapi, kerajaan yang lebih mengutamakan golongan kapitalis ini langsung tidak mempedulikan nyawa penduduk yang terancam pada bila-bila masa.

Dengan menawarkan sebuah kediaman yang dikelilingi kehijauan hutan yang mendamaikan, sebenarnya kerajaan dan pemaju juga, pada masa yang sama dan tanpa disedari, turut menawarkan kehilangan nyawa kepada pemilik kediaman berkenaan

Jika sebelum ini kita berbangga kononnya Malaysia adalah negara yang selamat kerana tidak termasuk dalam kawasan ‘Lingkaran Api’ yang mudah terdedah dengan pelbagai bencana seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi.

Malangnya di Malaysia, apa yang rakyat hadapi bukan ancaman ‘Lingkaran Api’, sebaliknya ‘Lingkaran Haloba’ yang datang dari kerajaan dan golongan kapitalis termasuk pemaju sehingga meletakkan nyawa rakyat sebagai taruhan.

Pendedahan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Dato’ Seri G. Palanivel bahawa hasil pertanian di Cameron Highlands yang dieksport mencecah lebih RM2 bilion membuktikan betapa kawasan tanah tinggi itu adalah lubuk kekayaan.

Mungkin, kerana itulah wujudnya aktiviti penerokaan haram yang disifatkan oleh Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai ‘tragedi negara’ sehingga memusnahkan imej Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan yang menyediakan keindahan alam.

Janji sekadar penyedap hati

Penerokaan haram itu pula bermula dengan aktiviti rasuah seperti yang diakui oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Mustafar Ali walaupun beliau kemudiannya memberi alasan kekurangan bukti untuk bertindak terhadap suspek.

Soalannya adakah perkara itu baru berlaku atau sudah lama?

Tetapi jika dilihat dengan mata kepala terhadap perkembangan yang berlaku di tanah tinggi itu, cukup mudah deria hati kita merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ditambah pula apabila melihat bilangan pekerja asing yang ramai yang dicurigai status kemasukannya.

Malangnya dilaporkan juga terdapat penduduk tempatan yang bersikap tidak bertanggungjawab apabila bersekongkol dengan peneroka haram dalam urusan jual beli tanah yang tidak sah sehingga dianggarkan 6,000 hektar sudah diteroka secara haram.

Dengan angka yang menakutkan itu, sudah tentu tidak logik untuk SPRM masih menggunakan alasan kekurangan bukti.

Walaupun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kononnya kerajaan tidak akan bersikap pilih kasih dalam siasatan punca tragedi itu, namun sejauh manalah beliau mampu meyakinkan penduduk untuk bertindak.

Apatah lagi, beliau dilaporkan turut menegaskan untuk membawa dalang sindiket itu ke muka pengadilan walaupun pesalah itu adalah orang istana!

Berdasarkan kepada sikap kerajaan ini, maka apakah pilihan yang dimiliki oleh rakyat untuk mendesak pemerintahan supaya memastikan keselamatan nyawa penduduk lebih terjamin pada masa akan datang?

Sukar sebenarnya untuk merangka langkah penyelesaian yang benar-benar bersepadu untuk memulihkan kegilaan daripada manusia ini.

Bencana demi bencana yang menimpa tidak juga menunjukkan manusia semakin insaf sebagai hamba Allah.

Tiada ulasan: