Jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei kecewa selepas kalah pada perlawanan akhir perseorangan lelaki menentang pemain China Chen Long dengan 19-21 dan 19-21 pada Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2014 di Stadium Ballerup Super Arena dekat Copenhagen, pada Ahad. - Foto Bernama Jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei kecewa selepas kalah pada perlawanan akhir perseorangan lelaki menentang pemain China Chen Long dengan 19-21 dan 19-21 pada Kejohanan Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2014 di Stadium Ballerup Super Arena dekat Copenhagen, pada Ahad. - Foto Bernama
 
 
PEMAIN badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menegaskan beliau tidak pernah menggunakan bahan terlarang sepanjang kerjayanya sebagai ahli sukan.

"Saya tak pernah menipu dan saya juga tidak akan sekali-kali bergantung pada bahan terlarang," kata pemain itu dalam laman Facebooknya hari ini.

Chong Wei berkata, terdapat banyak soalan yang belum terjawab berhubung kes itu dan berharap akan dapat membersihkan namanya dengan secepat mungkin.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mempercayai saya pada saat-saat yang memeritkan ini," katanya.

Chong Wei disahkan positif menggunakan bahan terlarang dikenali sebagai 'dexamethasone' dalam ujian yang dilakukan terhadap 'sampel B' di Oslo University Hospital di Norway pada Rabu.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Norza Zakaria memberitahu sidang media semalam bahawa beliau menerima keputusan rasmi itu daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada Khamis.

Chong Wei dilaporkan gagal dalam ujian dadah pada Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen pada Ogos. – Bernama