MALAYSIAKINI
Rang undang-undang untuk menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor
akhirnya diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.
Tiada anggota DUN daripada Pakatan Rakyat mengundi menyokongnya.
Rang undang-undang itu dibentangkan oleh exco Datuk Abd Latiff Bandi pada 2.30 petang ini.
Setelah pelbagai kritikan, Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin semalam berkata, rang undang-undang itu akan dipinda dengan
memasukkan peranan sultan atas nasihat menteri besar. [Baca berita penuh]
Sementara itu Bernama melaporkan DUN Johor hari ini meluluskan
Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 yang bertujuan
menyediakan satu bentuk perundangan berkaitan pembangunan sektor
perumahan dan hartanah di negeri ini.
Terdahulu, rang undang-undang itu yang merangkumi enam Bahagian, 51
Fasal dan tiga Jadual dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan
dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Latiff Bandi.
Lima wakil rakyat kerajaan dan tiga wakil pembangkang membahaskan rang undang-undang itu selama tiga jam sebelum diluluskan.
Rang undang-undang itu, yang sebelum ini menimbulkan reaksi pelbagai
pihak kerana apabila diluluskan dikatakan akan menyaksikan pembabitan
Sultan dalam pentadbiran kerajaan negeri, menyaksikan 10 pindaan
terhadap lapan fasal.
Antara pindaan itu membabitkan Fasal 4 (3) Keanggotaan Lembaga iaitu
ahli-ahli lembaga boleh dibayar saraan atau elaun seperti yang
ditentukan oleh Raja, dipinda kepada ahli-ahli lembaga boleh dibayar
saraan atau elaun seperti yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
Gulung perbahasan
Bagi Fasal 12 (2) Pelantikan Pengarah, Pegawai dan Pekhidmat iaitu
pelantikan Pengarah hendaklah dengan terlebih dahulu mendapat kelulusan
Raja, dipinda kepada segala pelantikan Pengarah hendaklah dengan
terlebih dahulu mendapat kelulusan Raja atas nasihat Menteri Besar.
Fasal 43 (1) Penggulungan dan Pembubaran iaitu Raja boleh melalui
perintah yang disiarkan dalam Warta mengarahkan supaya lembaga digulung
dan dibubarkan, dipinda kepada Pihak Berkuasa Negeri boleh melalui
perintah yang disiarkan dalam warta mengarahkan supaya lembaga digulung
dan dibubarkan.
Abdul Latiff ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata
penyediaan enakmen berkenaan bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak
tetapi lebih kepada membantu memperkukuh sektor perumahan dan hartanah
di Johor.
Beliau berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor yang ditubuhkan
mempunyai beberapa fungsi merangkumi penyediaan dasar, pelaksanaan,
penyelarasan serta perancangan pembangunan sektor perumahan dan hartanah
negeri ini.
"Ini seterusnya akan memberi kemudahan kepada rakyat, pihak-pihak
berkepentingan seperti pemaju dan perunding dalam menjalankan urusan
berkaitan sektor perumahan dan hartanah di negeri Johor," katanya.
Terdahulu, Maulizan Bujang (BN-Tiram) ketika membahaskan rang
undang-undang itu berkata jika dilihat dari sudut tujuan, matlamat dan
fungsi, enakmen tersebut amat baik dalam usaha kerajaan memantapkan
urusan pembangunan hartanah terutama melibatkan golongan berpendapatan
sederhana dan rendah.
Beliau berkata akan wujud sebuah entiti yang bakal menguruskan hal-hal
berkaitan perumahan atau kediaman rakyat negeri Johor secara lebih
berkesan dan fokus menerusi penubuhan lembaga terbabit.
"Saya mengharapkan lembaga ini juga dapat mengenal pasti tanah di bandar
yang munasabah dari segi lokasi dan nilainya untuk dibangunkan sebagai
(projek) rumah mampu milik. Ini penting untuk kita tentukan bahawa semua
golongan dapat berada di kawasan di mana berlaku pembangunan," katanya.
Wong Shu Qi (DAP-Senai) pula berkata enakmen berkenaan tepat pada masanya, namun terdapat beberapa isu yang perlu dijelaskan.
Beliau berkata sebagai wakil rakyat Johor, semua anggota perlu memahami
keperluan rakyat ketika ini khasnya keluarga pasangan muda sebelum
menggubal dasar dan undang-undang yang dapat memenuhi keperluan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan