Rabu, 11 Jun 2014

PAS: Hudud di S'gor hanya helah Umno

MALAYSIAKINI


 


Bekas pesuruhjaya PAS Dr Abdul Rani Osman berkata Umno hanya bermain helah politik melalui usul berhubung pelaksanaan hudud di Selangor.

Katanya, ia menujukkan Umno dan BN "cakap tak serupa bikin" kerana parti berkenaan sebelum ini menolak apabila usul serupa dibentangkan di Terengganu.

"Jika Umno jujur, kerajaan Umno Terengganu sepatutnya membenarkan perbahasan ke atas usul untuk menyokong hudud. Bagaimanapun, mereka menolak usul seperti itu baru-baru ini (bulan lalu).

"Umno juga menguasai Johor dan ia sepatutnya menyokong hudud dilaksanakan di situ, tapi mereka tidak berbuat demikian.

"Bagi saya, ini hanya satu helah," katanya kepada Malaysiakini.

Langkah itu meletakkan PAS, Pakatan Rakyat dan juga rakan kongsi BN lain dalam keadaan sukar.

Bagaimanapun, BN hanya diwakili ADUN dari Umno di Selangor, dengan 12 orang wakil rakyat.

Pakatan Rakyat menguasai Selangor dengan 44 orang ADUN (15 dari PAS, 15 dari DAP dan 14 dari PKR).

Abdul Rani, yang juga ADUN Meru, berkata mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menasihatkan anggota parti itu supaya berhati-hati menangani isu hudud.

Oleh yang demikian, PAS Selangor akan mengambil pendekatan sama dalam menyatakan pendirian dalam hal ini.

Abdul Rani berkata keutamaan dalam pelaksanaan hudud bukan di negeri Selangor, yang tidak menggubal apa-apa enakmen hudud, tetapi di Kelantan yang meluluskan undang-undang itu pada tahun 1994.

"Kita lihat dahulu kejujuran Umno dalam menyokong di Kelantan, itu keutamaannya. Umno perlu lihat situasi di sana dan menyokong pelaksanaannya, di mana majoritnya adalah orang Islam," katanya.

Tiada ulasan: