Selasa, 10 Jun 2014

Najib 'ikut jejak' PM S'pura, saman Mkini?

KPRU

Semalam pada 3 Jun 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab. Rauf Yusoh telah menyerahkan writ saman terhadap portal berita Malaysiakini susulan penyiaran dua artikel pada 14 Mei lalu yang mengumpul pandangan pembaca berhubung isu krisis Terengganu baru-baru ini, yang dikatakan berunsuran fitnah.

Penerbit Malaysiakini, Mkini Dotcom Sdn Bhd, Ketua Pengarang Kumpulan, Steven Gan dan Ketua Pengarang, Fathi Aris Omar masing-masing dinamakan dalam saman tersebut.

Secara kebetulan, Perdana Menteri di Negara jiran Singapura, Lee Hsien Loong turut buat pertama kali memfailkan saman terhadap seorang blogger bernama Roy Ngerng pada 18 Mei 2014, bahawa dia telah menerbitkan artikel yang berunsur fitnah terhadap Lee pada 15 Mei 2014.

Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpendapat tindakan Perdana Menteri Najib itu bukan sahaja berganjak daripada konsep ‘wasatiyyah’ atau kesederhanaan yang sering diuar-uarkan beliau, malahan sekaligus mencomot mekap dan solekan beliau sebagai seorang “reformis” yang begitu susah payah cuba "dicipta" di arena antarabangsa.

Sesungguhnya, sebagai pemimpin tertinggi dalam pentadbiran kerajaan yang menguasai hampir kesemua sumber dan jentera Negara, termasuklah saluran media arus perdana, Najib berkemampuan memberikan respons atau sanggahan mahupun teguran secara serta-merta dan seluas mungkin sekira adanya keperluan.

Pihak Malaysiakini juga mengalu-alukan Perdana Menteri Najib dan Umno untuk menyatakan pandangan mereka untuk disiarkan dalam Malaysiakini. Walau bagaimanapun, Najib dan partinya membuat keputusan mengambil tindakan melalui prosiding fitnah terhadap organisasi media terbabit itu.

KPRU mengamati tindakan yang diambil oleh seorang Perdana Menteri, bukan ahli politik sembarangan, terhadap Malaysiakini, yang kononnya merupakan suatu tindakan yang cuba mempertahankan reputasi kerajaan yang diterajui Najib, sebagai tindakan sebuah rejim yang sering dikritik sebagai tidak menghormati demokrasi lagi menindas kebebasan media.

Saman yang difailkan oleh Najib ini bukan sahaja menimbulkan kontroversi, tetapi juga suatu langkah yang kurang bijaksana dan berpandangan sempit demi kelangsungan hayat sebuah rejim.

Lazimnya, Kementerian Dalam Negeri yang memainkan peranan “antagonis” bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana media yang dilihat tidak mengakuri atau cuba mencabar arahan kerajaan Umno dengan membatalkan atau menggantung lessen percetakan dan penerbitan media tertentu pada bila-bila masa sahaja.

Kes saman Malaysiakini pada kali ini boleh dikatakan mewujudkan legasi negatif sebuah rejim memandangkan buat kali pertama Najib, atas nama Perdana Menteri, mengambil jalan undang-undang dengan memfailkan saman terhadap portal berita atas talian.

Sewajarnya, Najib harus bersikap demokrasi dalam isu dasar media dan membenarkan penerbitan akhbar harian Malaysiakini di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Mkini Dotcom pernah memohon permit di bawah akter tersebut untuk menerbitkan akhbar harian untuk dijual di Lembah Klang tetapi ditolak permohonannya pada tahun 2010 oleh Kementerian Dalam Negeri tanpa memberi maklum balas berkenaan alasan permohonan ditolak.

Syarikat berkenaan kemudiannya terus mencabar keputusan tersebut. Pada hakikatnya, keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 1 Oktober 2013 telahpun membatalkan keputusan menteri yang menolah permohonan permit Malaysiakini dan memutuskan penerbitan akhbar sesungguhnya hak yang dijamin di bawah Artikel 10 dalam Perlembangaan Persekutuan, bukannya hak istimewa yang ditentukan oleh Putrajaya.

Jikalau Najib benar-benar berpegang teguh kepada pelan transformasi beliau, KPRU menggesa Perdana Menteri dan UMNO menarik balik saman yang difailkan terhadap Malaysiakini sementara permit penerbitan akhbar Malaysiakini dalam empat Bahasa, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dikeluarkan.

Lantas, KPRU menyeru seluruh rakyat Malaysia berdiri bersama-sama dengan Malaysiakini bagi memberikan sokongan teguh kepada portal berita tersebut dalam masa sukar.

Memandangkan blogger yang disaman oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Singapura itu berjaya mengumpul jumlah yang melebihi $55,700 melalui pendanaan orang ramai (crowdfunding) bagi membiayaai kos guamannya, rakyat Malaysia khususnya pembaca Malaysiakini juga harus menunjukkan sokongan kepada portal berita tersebut yang sering memberi ruang kepada suara alternatif bagi mempertahankan kebebasan media dan kebebasan bersuara.


KPRU adalah singkatan Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan.

Tiada ulasan: