KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong perlu menolak jawatan menteri dalam rombakan kabinet akan datang, selagi Umno masih bercadang untuk melaksanakan hudud di peringkat persekutuan mahu pun negeri.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata demikian ketika mengulas laporan yang menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Sungai Air Tawar Kamarol Zaki Abdul Malik telah menghantar usul pelaksanaan hudud di Selangor kepada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula minggu depan.
Beliau berkata, keputusan kini berada di tangan Liow dan Mah – sama ada mereka bersedia untuk mempertahankan prinsip MCA dan Gerakan atau ‘termakan’ tawaran menyertai kabinet.
“Mereka harus meminta Najib menangguh rombakan kabinet dan bertegas MCA dan Gerakan tidak akan menyertai kabinet selagi Umno tidak beri jaminan tidak akan meneruskan rancangan pelaksanaan hudud di peringkat persekutuan mahu pun negeri.
“Pilihan kini di tangan mereka, sama ada mereka bersedia untuk mengambil pendirian tegas atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan.
Kedua-dua Presiden parti komponen BN itu dijangka bakal mendapat jawatan menteri dalam rombakan kabinet yang dikatakan akan diadakan sebelum Ramadan ini.
Ketika ini, tiada seorang pun daripada MCA dan Gerakan yang dalam barisan jemaah menteri, ekoran kekalahan teruk dalam Pilihanraya Umum ke-13.
Mengulas isu sama, Timbalan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo bertegas DAP Negeri akan menentang sebarang usaha memperkenalkan undang-undang itu.
“Kami sudah mengatakan, dan mengulang banyak kali bahawa apa sahaja undang-undang yang ingin menguatkuasakan hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya.
Menurut Pengerusi Biro Undang-undang DAP itu lagi, undang-undang jenayah hanya boleh diluluskan oleh Parlimen dan bukan DUN. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan