Hassan Karim
d/a Tetuan Hassan Karim & Co.,
Peguambela & Peguamcara
Bilik 6, Aras 2, Wisma Qaryah, Jalan Pejabat,
82000 Pontian, Johor.
Tel: 07-6881839 (H/P:012-793-11-48)
Tarikh: 7hb Jun 2014
Kepada
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Menteri Besar Johor
Pejabat Menteri Besar Johor,
Aras 3, Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad,
Kota Iskandar, 79000 Nusajaya, Johor
YAB Datuk Seri,
Asalamualaikum Saudara,
PER: RANG UNDANG-UNDANG LEMBAGA PERUMAHAN DAN HARTANAH JOHOR
1. Dengan rendah hati saya memperkenalkan diri saya. Nama saya Hassan Karim seorang rakyat Johor, warganegara Malaysia yang tinggal di Pontian, Johor serta beralamat seperti di atas.
2. Surat terbuka ini ditujukan dan dialamatkan kepada saudara selaku Menteri Besar Johor. Saya ingin merujuk perkara yang tersebut di atas iaitu mengenai Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor, ringkasnya RUU (LPHJ).
3. Saya mendapat maklum dari media bahawa pada hari Isnin ini 9.6.2014 RUU (LPHJ) akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Nusajaya. RUU(LPHJ) itu jika diluluskan oleh DUN maka ia akan menjadi satu enakmen yang mempunyai ciri-ciri, antara lainnya seperti berikut:-
a) ia memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk menyelia akaun LPHJ;
b) Sultan Johor mempunyai kuasa membubar dan melantik ahli lembaga pengarah baharu;
c) Sultan diberi kuasa menentukan jumlah elaun dan saraan ahli lembaga pengarah;
d) Sultan diberi kuasa melantik seorang pengarah yang boleh dipilih sebagai Ketua Eksekutif LPHJ.
4. Saya percaya jika RUU (LPHJ) seperti yang ada sekarang diluluskan maka ia akan membawa implikasi bahawa Kerajaan Johor yang dipilih oleh rakyat memberi kuasa kepada Sultan untuk terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan.
5. Saudara sebagai Menteri Besar yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam kabinet Kerajaan Persekutuan Malaysia tentu lebih faham bahawa RUU (LPHJ) yang akan dibentangkan di DUN Johor ini adalah bercanggah dengan konvensi sistem berkerajaan di Malaysia yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
6. Saudara sebagai Menteri Besar Johor mestilah menjadi benteng untuk mempertahankan kedua-duanya iaitu institusi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Saudara mesti mengambil apa juga langkah untuk mengelakkan supaya Sultan Johor tidak terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri secara langsung sebagai kuasa eksekutif. Ini untuk mengelakkan Sultan Johor dari terdedah kepada penghinaan.
Sebagai contoh, sebagai seorang yang dilatih sebagai peguam, saudara tentu faham bahawa jika Sultan diberi kuasa untuk membubar dan melantik ahli lembaga pengarah LPHJ, maka keputusan Sultan itu adalah satu keputusan eksekutif kerajaan dan ia boleh dicabar di mahkamah di dalam prosiding Semakan Kehakiman (Judicial Review).
Sanggupkah saudara melihat ke bawah duli Sultan Johor diheret ke Mahkamah Sivil sebagai seorang responden oleh pihak-pihak yang berasa terkilan apabila diberhentikan sebagai ahli lembaga pengarah? Jika ini berlaku tidakkah Sultan akan terdedah kepada penghinaan? Jika saudara masih sayangkan Sultan!
7. Saya ingin bertanya, adakah saudara mendapat nasihat perundangaan dari Penasihat Undang-Undang Negeri Johor (PUNJ) apabila saudara sebagai ketua Majlis Jemaah Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, mudahnya kerajaan Johor hendak membentangkan RUU (LPHJ)? Jika ada nasihat dari PUNJ, apakah nasihat mereka? PUNJ memikul tanggungjawab sebagai penasihat undang-undang kepada Kerajaan Johor. Siapa yang menderaf RUU (LPHJ) ini? Adakah diteliti oleh PUNJ? Jika PUNJ berkata "Yes" sahaja terhadap RUU (LPHJ) itu, nyata sekali PUNJ telah melakukan satu kecuaian. Tapi ini satu spekulasi sahaja.
8. Jadi siapa sebenarnya yang menderaf, mendesak supaya RUU (LPHJ) ini dibentangkan? Adakah Sultan Johor tahu? Adakah baginda setuju? Atau adakah baginda Sultan yang mengarahkan supaya dibentangkan dengan peruntukan seperti yang ada sekarang? Ini satu pertanyaan. Saudara mesti telus. Perkara ini sudah jadi isu nasional.
9. Sekarang saudara perlu memikul satu lagi tanggungjawab. Saudara jadi Menteri Besar kerana saudara menang sebagai calon di kawasan Dewan Undangan Negeri Permas, dalam negeri Johor. Parti politik saudara Umno/BN menjadi parti yang menang majoriti di DUN Johor. Saudara tidak berada di dalam DUN Johor kerana dilantik oleh Sultan. Rakyat yang lantik saudara. Jadi saudara perlu memikul satu lagi konvensi sistem bernegara dan bernegeri di Johor dan Malaysia ini iaitu sistem Demokrasi Berparlimen.
10. Demokrasi berparlimen adalah secara mudah difaham ialah kuasa rakyat yang memilik satu kerajaan iaitu kerajaan pilihan rakyat melalui satu pilihan raya yang bersih dan adil. Jadi tugas saudara sebagai Menteri Besar ialah sentiasa bersikap cermat, waspada, dan sentiasa cemburu supaya kuasa kerajaan pilihan rakyat tidak diceroboh oleh pihak istana. Bukan seperti apa yang berlaku sekarang. Saudara telah buka pintu seluas-luasnya untuk Sultan berkuasa di dalam hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri khususnya dalam satu bidang yang amat penting dan strategik iaitu sektor perumahan dan hartanah. Jadi saudara telah pecah amanah yang diberi oleh rakyat. Saudara telah gagal untuk mempertahankan sistem demokrasi berparlimen di Johor. Perlu diingat, Johor bukan satu negeri berdaulat dan merdeka sendiri. Johor adalah satu komponen dalam Persekutuan Malaysia yang merdeka.
11. Saudara selaku Menteri Besar perlu memikul tanggung jawab terhadap isu ini yang boleh menjadi satu skandal perundangan dan perlembagaan. Saudara perlu dipersalahkan sekiranya akhirnya institusi raja dan Sultan Johor dihina rakyat. Saudara perlu melindungi hal seperti itu berlaku. Ini memerlukan seorang Menteri Besar yang bijaksana, tegas dan berpandangan jauh untuk menasihati Sultan, jika di pihak Sultan sendiri yang begitu ghairah untuk mempunyai kuasa eksekutif. Saudara mesti menasihati baginda.
Sekian sahaja surat saya ini. Harap maaf jika ada tersilap kata dan bahasa.
Terima kasih.
Yang benar,
Hassan Karim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan