Isnin, 9 Jun 2014

Lantik pembantu guru urus kerja pengkeranian

NAZRI ABDULLAH 


KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan agar pihak kementerian pendidikan mengakaji untuk mewujudkan 'pembantu guru' bagi meringankan tugas guru khususnya bagi kerja-kerja pengkeranian.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad ketika mencadangkan perkara itu di Dewan Rakyat berkata, ianya penting supaya fokus guru-guru kepada proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) tidak terganggu dengan tugas-tugas yang lain.

"Pihak kementerian perlu menyediakan pembantu guru untuk meringankan beban tugas guru di sekolah.

"Saya cadangkan ada satu orang pembantu guru untuk menyelesaikan tugas pengkeranian. Bagi 20 orang cikgu, tempatkan seorang kerani," kata beliau ketika membahaskan Rang Undang-undang Yayasan Guru Tun Hussein Onn 2014, hari ini.

Bantuan guaman

Sementara itu beliau turut mencadangkan pihak kementerian menyediakan bantuan guaman kepada guru-guru yang berdepan saman oleh ibu bapa dan murid.

Katanya, guru-guru zaman sekarang terpaksa berdepan pelbagai resiko dalam mendidik anak bangsa, sedangkan niat mereka sangat murni hanya untuk melihat anak murid mereka menjadi orang yang baik dan berguna.

"Kadang-kadang kes saman ini menyebabkan mereka trauma.

"Akhirnya mereka mengambil sikap, mengajar sekadar untuk habiskan silibus, anak murid nak jadi apa mereka tak kisah," katanya lagi.

Mengulas isu kebajikan guru, Idris berkata makna 'kebajikan' kepada guru bukan sahaja setakat bantuan material semata-mata.

Sebaliknya kata beliau, makna lebih besar adalah dari sudut kepuasan mereka untuk menjalankan tugas dengan ikhlas tanpa diganggu dengan perkara yang remeh-temeh.

"Kita tak mahu bila mula hari Ahad atau Isnin, guru mula rasa resah sebab terbayang bebanan mereka di sekolah.

"Kita tengok anak guru-guru, tidak berminat nak jadi guru apabila melihat bebanan ibu dan bapa mereka ketika di sekolah dan bebanan itu juga dibawa balik ke rumah

"Setiap kali menteri bertukar, polisi pun bertukar, wujud keresahan di kalangan guru," katanya.

Tambah bajet

Idris yang juga AJK PAS Pusat turut menggesa pihak kerajaan menambah peruntukan kepada sektor pendidikan dalam negara ini.

Katanya, peruntukkan bagi pembangunan pendidikan di Malaysia jauh lebih rendah berbanding beberapa buah negara lain.

Laporan oleh Human Development Index (HDI) pada 2011 menunjukkan perbelanjaan pendidikan berbanding KDNK bagi Malaysia hanya 4.1 peratus berbanding Denmak 7.8 peratus, Finland 5.8 peratus dan Timor Leste 16.8 peratus.

"Kadang -kadang kita tengok kesian ada cikgu bawa kad balik kampung nak kutip duit untuk maraton sekolah.

"Seolah-olah negara kita ni sengkek, miskin sangat sampai cikgu kena pergi mintak sedekah," jelasnya sambil menambah sepatutnya guru tidak perlu sampai berbuat begitu.

Selain itu, beliau turut menggesa anggota lembaga pengarah kepada Yayasan Guru Tun Hussein Onn dilantik daripada mereka yang ada kepakaran serta memahami tugas dan beban guru.

Beliau turut mencadangkan bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim dilantik sebagai salah seorang anggota yayasan tersebut. -

Tiada ulasan: