Isnin, 23 Jun 2014

Kes Altantuya: Isu alibi Azilah dibangkitkan

MALAYSIAKINI



 


Mahkamah Persekutuan menjadi perhatian hari ini apabila ia akan memutuskan kes berprofil tinggi membabitkan pembunuhan warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Mahkamah itu akan mendengar rayuan pendakwa terhadap pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas polis, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar terhadap pertuduhan membunuh Altantuya.

Pada 23 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan Azilah dan Sirul Azhar daripada pertuduhan membunuh selepas sebulat suara membenarkan rayuan mereka dan meminda sabitan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009.

Mereka didapati bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Mahkamah Rayuan, dalam penghakiman 47 muka surat, menegaskan bahawa keterangan ikut keadaan yang dikemukakan pendakwaan tidak mencukupi untuk mengekalkan keputusan bersalah kedua-dua anggota polis itu.

Kesalahan mereka dilaporkan tidak dibuktikan dengan memuaskan, "oleh itu mahkamah terpaksa memberi mereka faedah kesangsian".

LAPORAN LANGSUNG

3.50pm: Hakim Suriyadi bertanya kenapa perlunya perbicaraan dalam perbicaraan apabila terdapat alibi?

Tun Abdul Majid berkata, ini keperluan perbicaraan oleh hakim Mahkamah Tinggi.

Hakim Ahmad bertanya berhubung polis diperlukan berkumpul di sesuatu tempat, tetapi Tun Abdul Majid berkata, polis hanya diminta bersiap sedia.

“Polis hanya tahu bahawa lokasi umumnya di Puncak Alam, tetapi kami tidak tahu lokasi sebenarnya.”

3.40pm: Tun Abdul Majid berkata, Azilah membawa mereka (polis) ke tempat kejadian jenayah.

“Ketika sampai ke kawasan pembersihan tanah, Azilah berkata ini tempatnya dan menunjukkan insiden di mana Altantuya ditembak dan letupan yang digunakan padanya,” kata Tun Abdul Majid memetik pengakuan seorang pegawai polis.

Katanya, hakim perbicaraan mendengar bukti diberikan dalam perbicaraan dalam perbicaraan.

3.25pm: Tun Majid berkata, Balasubramaniam melihat Azilah di rumahnya di Bukit Damansara dan bukan TTDI, dekat Shah Alam pada 18 Oktober 2006.

Azilah, katanya, tidak boleh mendakwa berada di tempat lain.

“Keputusan Mahkamah Rayuan salah kerana defendan tidak memanggil sebarang pakar bagi menolak bukti daripada pengendali telekomunikasi.

“Kami perlu memanggil pakar lain untuk menolaknya, tetapi tiada sesiapa dipanggil,” katanya.

3.08pm: Tun Abdul Majid berkata, alibi Azilah tidak mungkin kerana syarikat telekomunikasi tidak merekodkan sebarang panggilan di lokasi yang didakwanya sebagai sokongan.

“Responde pertama (Azilah) tidak mungkin berada di Wangsa Maju, Batu Caves atau di tempat lain (pada masa kejadian).

“Zon dan masa ini menunjukkan Azilah di Puncak Alam (dekat lokasi jenayah). Dia tidak berada di Wangsa Maju seperti didakwa alibinya,” kata timbalan peguam cara negara II itu.
 
2.45pm Tun Abdul Majid berkata, alibi Azilah apabila dia pergi ke Wangsa Maju dan kemudiannya kembali ke Jalan Duta.

Dia terus berhujah berhubung menara telekomunikasi.

2.41pm: Azilah dan Sirul memasuki mahkamah dari tepi, bukan daripada pintu biasa.

Mahkamah disambung semula dengan diketuai Hakim Ariffin. Tun Majid meneruskan penghujahannya.

12.20pm: Tiada bukti campur tangan dalam dalam data, kata Tun Abdul Majid.

Kesalahan adalah kecil, tambahnya.

Tun Abdul Majid juga berkata, Azilah mungkin tidak berada di lokasi alibinya di Wangsa Maju.

Mahkamah berhenti sebentar untuk makan tengah hari. Prosiding akan bersambung apda jam 2.30pm.

12.05pm Tun Abdul Majid menunjukkan bagaimanapun pembuat panggilan telefon dapat dikesan.
Katanya, tiada pengubahan data telefon tertuduh.

11.50am: Hakim bertanya sama ada buku rekod polis adalah dokumen yang sama seperti yang berlaku.

Tun Abdul Majid berkata, syarikat telekomunikasi mengesahkan log panggilan telefon dan ditandatangan.

Log itu dapat menunjukkan lokasi tertuduh pada malam insiden berlaku.

11.30am: Tun Abdul Majid berkata, Azilah gagal mengemukakan saksi alibi bagi kes itu.

Katanya, Mahkamah Tinggi mendapati pembelaan kedua-dua tertuduh hanya penafian semata-mata dan mereka gagal membangkitkan sebarang keraguan berhubung pendakwaan kes.

Tun Abdul Majid berkata, keputusan Mahkamah Rayuan salah kerana Azilah tidak memanggil saksi untuk menyokong alibinya.

Dan oleh itu, tambahnya, beban pembuktian terletak di pihak pembelaan dan bukannya pendakwaan.

11.20am: Tun Abdul Majid mengetengahkan latar belakang kes.

Katanya, si mati mempunyai hubungan dengan seorang penganalisis politik dan mendapatkan bantuan DSP Musa Safri, yang merupakan pembantu kepada Datuk Seri Najib Razak ketika itu.

Pada 20 Oktober 2006, sepupu Altantuya melaporkan kematian itu. Kematiannya disebabkan oleh kecederaan akibat letupan.

Tun Abdul Majid berkata, terdapat perhubungan antara responden dan si mati bermula di rumah Abdul Razak Baginda.

11.05am: Panel lima anggota diketuai Hakim Arifin Zakaria dalam kes rayuan itu.

Anggota lain adalah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Richard Malanjum dan hakim Mahkamah Persekutuan Abdull Hamid Embong, Suriyadi Halim Omar dan Ahmad Maarop.

Timbalan Peguam Cara Negara II Tun Abdul Majid Tun Hamzah memperkenalkan pihak-pihak terlibat.

Sirul tampil berpakaian baju Melayu dan bersongkok manakala Azilah memakai jaket warna kelabu.

Tiada ulasan: