MALAYSIAKINI
dikemaskini Jabatan Agama Islam
Pulau Pinang menghentikan satu upacara pengebumian seorang wanita
berusia 38 tahun mengikut adat Cina kerana si mati didakwa memeluk
Islam, 17 tahun lalu.
Laporan The Star Online menyebut, Teoh Cheng Cheng merupakan seorang Islam dan namanya sudah ditukar menjadi Nora Teoh Abdullah.
Pihak berkuasa tersebut membawa mayat Teoh pada kira-kira jam 3.50
petang selepas berunding dengan anggota keluarga berkenaan sejak
tengahari.
Teoh meninggal dunia akibat terjatuh pada hari Sabtu lalu dan dikatakan mempunyai seorang teman lelaki beragama Islam.
Perkembangan itu berlaku hanya seminggu selepas pihak berkuasa Jabatan
Agama Islam Selangor menghentikan satu upacara perkahwainan Hindu.
Dalam kejadian di Petaling Jaya itu, JAIS turun menahan pengantin
perempuan, Zarina Abdullah Majid, yang didakwa sebagai seorang penganut
Islam.
Sementara itu, laporan Bernama menyebut, wanita didakwa mualaf itu
memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarganya dan tinggal di Pangsapuri
Pelangi, Lintang Macallum bersama teman lelakinya dan empat anak mereka.
Pengarah JAIPP Datuk Sazali Hussein berkata menurut rekod jabatan
berkenaan, wanita itu memeluk Islam pada 1997 dan menukar namanya kepada
Nora Teoh Abdullah.
"Kita sedang dalam proses mendapatkan perintah Mahkamah Syariah untuk
menguruskan jenazah wanita itu mengikut hukum Islam dan Allahyarham kini
dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk sementara waktu," katanya
ketika dihubungi.
Beliau berkata JHEAIPP telah melakukan yang terbaik dalam rundingan dan
memberi penjelasan kepada ahli keluarga wanita berkenaan.
"Memang ada bantahan...kita sedang melakukan yang terbaik kerana kita
ada semua bukti dan rekod mengatakan bahawa wanita itu adalah seorang
Islam," katanya.
Berikutan perkara itu upacara pengebumian Teoh mengikut adat Cina yang
dijadual selesai lewat petang semalam di perkarangan pangsapuri
berkenaan tergendala apabila pegawai JHEAIPP tiba dan menuntut mayatnya
pada pukul 2.30 petang.
Selepas berunding hampir tiga jam keluarga Teoh akhirnya membenarkan keranda wanita itu dibawa ke HPP untuk tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan