Hussamuddin (empat, kanan) menyampaikan cenderahati sebagai tanda kenangan kepada Choon Liang (tiga, kanan). Hussamuddin (empat, kanan) menyampaikan cenderahati sebagai tanda kenangan kepada Choon Liang (tiga, kanan).
 

INDUSTRI runcit dijangka mengalami penguncupan pada tempoh awal pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) 1 April depan.

Presiden Persatuan Rangkaian Peruncitan Malaysia (MRCA), Datuk Liaw Choon Liang berkata, ini kerana kuasa beli pengguna akan lebih terhad kepada barang keperluan.

Bagaimanapun, katanya, semua itu hanya bersifat sementara iaitu dijangka antara tiga hingga enam bulan pertama pelaksanaan sistem percukaian baharu itu.

“Tambahan pula, sebelum GST dilaksanakan iaitu pada Januari hingga Mac, kuasa beli akan berkembang lebih tinggi kerana orang ramai risau harga barang keperluan akan naik ketika GST.

“Selepas April, (dijangka) berlaku penurunan (dari segi kuasa beli) atau kekal.

“Namun, industri akan kembali normal apabila kerajaan mengambil langkah untuk mengimbangkan kesan kenaikan harga barang dan perkhidmatan antaranya menerusi pengurangan jumlah cukai pendapatan individu atau syarikat,” katanya ketika ditemui selepas lawatan delegasi MRCA ke Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), di Shah Alam, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacob, Timbalan Pengerusi Karangkraf, Mohd Nasir Hamzah, Ketua Pegawai Operasi Karangkraf, Syamil Fahim Mohd Fahim dan Pengarah Eksekutif Sinar Harian, Akmal Eirfan Mohd Fauzi.

Choon Liang berkata, jumlah pengeluaran produk domestik pada suku pertama tahun ini menunjukkan perkembangan positif.

“Walaupun industri peruncitan mungkin akan ada kesan daripada GST, namun ia masih lagi berkembang dengan baik kerana populasi rakyat Malaysia yang ramai,” katanya.

Menurutnya, tidak semua harga barang akan naik apabila GST dilaksanakan.

“GST dikenakan enam peratus, dan barang yang selama ini dikenakan cukai 10 peratus seperti yang mengandungi duti import, akan turun,” katanya.

MRCA yang ditubuhkan pada 1992 mempunyai lebih 250 rantaian peruncit dan francaisor, terdiri daripada pelbagai jenama termasuk antarabangsa.