Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan sepuluh individu yang bebas politik akan mewakili kerajaan Kelantan dalam jawatankuasa teknikal hudud peringkat pusat.
Menurutnya, kesemua nama itu akan dibentangkan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob, awal Julai ini sebelum dibentangkan kepada kerajaan Pusat, lapor Sinar Harian hari ini.
“Tidak kurang sepuluh orang yang terlibat. Selepas dimuktamadkan kita akan hantar kepada (kerajaan) Pusat,” katanya dipetik daripada akhbar harian itu.
Bagaimanapun, dalam laporan itu, Mohd Amar berkata jumlah wakil Kelantan sebenarnya akan ditentukan kerajaan pusat memandangkan kerana setakat ini jumlah anggota yang diperlukan tidak dinyatakan.
“Individu yang dipilih ini juga masih belum mengetahuinya lagi mereka terlibat dan kita akan maklumkan setelah senarai dihantar kepada Pusat,” katanya.
Laporan itu juga menyebut, Mohd Amar menjelaskan jawatankuasa teknikal itu mempunyai dua tahap.
Katanya, peringkat pertama melibatkan parti politik dan pentadbiran yang dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan beliau sendiri.
Manakala peringkat kedua pula dianggotai pakar dalam bidang berkenaan iaitu terdiri daripada pensyarah dan pengamal undang-undang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan