Rabu, 9 Oktober 2013

Anwar gesa SPRM tidak hanya heret “kambing hitam” ke muka pengadilan

OLEH MD IZWAN

















Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak hanya mengheret "kambing hitam" ke muka pengadilan, susulan ketirisan yang didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

Anwar berkata, SPRM perlu menjalankan siasatan menyeluruh kerana pembaziran dan penyelewengan yang sentiasa berulang setiap kali laporan tersebut dibentangkan.

"PKR menggesa SPRM menjalankan siasatan menyeluruh ke atas semua kes penyelewengan dan pembaziran ini, dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

 "PKR juga mengharapkan kerajaan pusat satu hari nanti akan mengubah budaya mereka yang didapati merancang pembaziran dan penyelewengan wang rakyat akan dihukum, dan bukan sahaja ‘kambing hitam’ yang dijadikan teladan," kata Ketua Umum PKR itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Anwar membidas Putrajaya yang disifatkannya sebagai tidak mempunyai kesungguhan untuk memastikan masalah ketirisan dan pembaziran ini daripada berulang.

“PKR mengamati satu perkembangan yang cukup jelas dan membimbangkan, iaitu sikap tidak kisah yang berterusan dalam membelanjakan dana kerajaan oleh kementerian dengan sebegini rupa, dan tiada langsung kesungguhan politik untuk menghukum pesalah berulang," katanya.

Beliau berkata, kedegilan kerajaan untuk menangani pembaziran dalam pentadbiran adalah sesuatu yang membimbangkan ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak diberi amaran oleh badan antarabangsa.

"Kerajaan pusat tidak patut membenarkan penyelewengan kewangan seperti ini berterusan, lebih-lebih lagi tatkala Malaysia diberi amaran oleh badan-badan antarabangsa bahawa ia berbelanja secara berlebihan dan tiada langkah kukuh untuk menangani ketirisan dan pembaziran," katanya.

Agensi penarafan kredit, Fitch Ratings pada Ogos lalu meletakkan unjuran penarafan kredit Malaysia daripada stabil kepada negatif, serta mempersoalkan langkah kerajaan yang mengabaikan reformasi kewangan terutamanya selepas berakhir pilihan raya baru-baru ini.

Anwar berkata, pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan petugasnya dalam menyediakan laporan tersebut adalah suatu malapetaka untuk negara.

"Ianya bagaikan dejavu, satu igauan tidak henti-henti.

"Laporan ini terus membuktikan pentadbiran kewangan dan aset kerajaan pusat yang teruk, pengurusan dan penyeliaan projek kerajaan lemah, penyelewengan kewangan yang berterusan," katanya.

Antara pembaziran dan ketirisan yang mendapat perhatian Anwar adalah projek menambah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu; projek mewujudkan Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; projek pembentungan negara; dan kelewatan mengutip cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Selepas pendedahan laporan Ketua Audit Negara tersebut, SPRM mengumumkan pihaknya akan mengadakan siasatan ke atas jabatan kerajaan yang terlibat dalam ketirisan dan pembaziran.

Selain itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), bersama jawatankuasa di bawah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa juga akan membuat siasatan ke atas laporan tersebut.

Anwar turut menyelar kerajaan juga harus bersikap adil dan perlu berjimat, bukan hanya menyuruh rakyat berjimat tetapi mereka tidak pula mengambil inisiatif sama untuk melakukannya.

"PKR mengulangi pendirian bahawa penyelewengan wang rakyat dan budaya pembaziran yang kita saksikan sekarang dalam pentadbiran negara wajib dihentikan,” katanya.

Tiada ulasan: