Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis tertutup di Melaka berkaitan jenayah dan keselamatan baru-baru ini, terus mengundang pertikaian banyak pihak.
Rakaman ucapan beliau yang didedahkan oleh sebuah portal berita itu bukan saja dikecam oleh part-parti pembangkang tetapi juga oleh parti komponan Barisan Nasional (BN) sendiri.
Selain Gerakan yang sudah menyatakan rasa kurang senang dengan kenyataan Zahid itu, dipercayai beberapa parti lain juga dijangka akan berbuat demikian. Rakyat biasa juga turut terganggu dengan ucapan Zahid itu kerana ia dilihat berlebih-lebihan dan hanya ingin memancing perhatian perwakilan Umno saja.
Ucapannya berkaitan tindakan menembak penjenayah dan kumpulan Tiga Line, nyata paling tidak disenangi oleh banyak pihak.
Walaupun majlis di Melaka itu dikatakan berkaitan taklimat mengenai keselamatan tetapi ia seperti acara kempen menjelang pemilihan Umno yang sedang dilakukan Zahid bersama beberapa calon Majlis Tertinggi (MT) yang turut bertanding.
Dipercayai majoriti yang hadir juga adalah terdiri daripada para perwakilan Umno negeri Melaka yang mempunyai undi dalam menentukan kepimpinan Umno pemilihan 19 Oktober ini.
Walaupun ia merupakan majlis tertutup dan merupakan acara kempen Umno, harus diakui bahawa Zahid yang sedang mempertahankan jawatan Naib Presidennya, adalah juga seorang menteri dalam kerajaan BN yang memegang jawatan Menteri Dalam Negeri. Kerajaan BN adalah kerajaan campuran pelbagai parti di mana di dalamnya ada Umno, MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya.
Persoalan yang timbul, apa perlunya Zahid sebagai seorang yang sudah lama bersama Umno, masih perlu mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur perkauman dan menyingggung kaum lain?
Tidak bolehkah kalau berkempen untuk mempertahankan jawatannya, beliau sekadar bercakap mengenai visi dan misinya dalam perjuangan Umno dan tidak terlalu menunjuk-nunjuk sikap perkauman serta keghairahan terhadap kuasa yang dimiliki sebagai seorang menteri?
Kenapa perlu menceritakan semua maklumat mengenai penjenayah beserta dengan fakta dan angka-angkanya sekali kepada perwakilan Umno? Adakah itu yang mahu didengar oleh perwakilan Umno?
Apakah juga kalau tidak menunjukkan sikap perkauman dan menyerang kaum lain, Zahid akan kalah dalam pemilihan kali ini?
Inilah antara persoalan-persoalan yang membingungkan ramai orang.
Meskipun diakui bahawa persaingan jawatan Naib Presiden kali ini agak sengit berikutan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi, tetapi Zahid seharusnya lebih bertanggungjawab dalam kempennya.
Beliau tidak seharusnya bermain dengan api perkauman dan membangkitkan sentimen tersebut untuk memberitahu beliau satu-satunya pejuang Melayu dalam dalam Umno, kalau pun terlalu ingin menang dalam pemilihan ini.
Dengan membangkitkan sentimen perkauman dalam gerakan kempennya, Zahid bukan saja membakar api perkauman dalam diri setiap orang yang mendengar ucapannya, tetapi beliau juga sebenarnya sedang menyusahkan kerajaan yang dipimpin oleh Najib Razak dalam memenangi hati pelbagai kaum menjelang pilihanraya akan datang. Sejak mengambil alih kerajaan, Najib telah berusaha dengan pelbagai cara untuk mendekatkan pengundi Cina dan India kepada BN dan kerajaan tetapi nampaknya Zahid telah merosakkannya.
Walaupun usaha itu agak tidak berjaya dan keputusan PRU13 lalu menunjukkan sokongan yang minima diberikan oleh kedua-dua kaum itu terhadap kerajaan, namun usaha tidak harus dihentikan. Ia mesti diteruskan.
Kerajaan akan terus menjadi tidak stabil jika tidak mendapat sokongan semua kaum. Sepatutnya dalam usaha mencapai keputusan yang lebih baik dalam PRU14 nanti, pemimpin kerajaan harus merapatkan lagi jurang perkauman yang wujud sekarang dan bukannya menjarakkan lagi.
Zahid yang sebelum ini pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan tetapi tidak begitu menonjol di kedua-dua kementerian itu, kini merasakan jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri merupakan portfolio yang sesuai dengannya. Hampir setiap hari beliau menjadi sorotan media dan kadangkala keghairahannya melampaui had yang sepatutnya.
Walaupun mungkin apa yang diucapkannya dalam perjumpaan tertutup itu sesuatu yang benar, tetapi perlukah beliau memberitahu semua orang mengenainya? Bukankah lebih baik ia menjadi rahsia polis dan Kementerian Dalam Negeri saja?
Sebagai pemimpin Umno, tiada salahnya Zahid menunjukkan sikap perkauman dan jiwa Melayunya.
Namun oleh kerana dalam masa yang sama beliau merupakan seorang menteri dalam kerajaan BN, tindakan itu seharusnya dilakukan secara berpatutan dan tidak berlebih-lebihan. Ini kerana selain bertanggungjawab terhadap Umno, beliau juga ada tanggungjawab dalam kerajaan.
Lainlah jika yang menjerit-jerit mengenai perkara itu seorang ketua pemuda bahagian atau cawangan yang tidak tanggungjawab terhadap kerajaan. Atau jika yang melakukannya seorang pemimpin sebuah NGO yang memang memperjuangkan kepentingan Melayu.
Sebagai pemimpin Umno dan memegang jawatan dalam kerajaan dalam masa yang sama, kebijaksanaan dalam memainkan dua peranan ini adalah penting. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menjadikan seseorang itu disukai oleh kaumnya saja tetapi dibenci oleh laum lain.
Ini tentunya tidak menguntungkan kerajaan, tambahan pula kerajaan tidak mungkin tertegak dengan hanya sokongan satu kaum saja. Sokongan kaum lain juga diperlukan. Dalam hal ini, Zahid ternyata sedang mempersulit tugas Najib dan kerajaan dalam memenangi hati kaum-kaum lain.
Dengan tindakan Zahid yang begitu mahu menunjukkan dirinya seorang pejuang Melayu tulen dan tidak berkompromi dengan kaum-kaum lain, memang beliau sedang meniti populariti sekarang ini. Namanya sedang melonjak dan melekat di hati para perwakilan sebagai salah seorang calon Naib Presiden yang mesti dikekalkan.
Berbanding dua penyandang Naib Presiden yang lain iaitu Hishammuddin Hussein dan Shafie Apdal, Zahid nyata jauh meninggalkan mereka. Tidak mustahil jika hanya beliau seorang yang kekal tetapi dua rakannya yang lain bakal tercicir apabila keputusan diumumkan nanti.
Namun jika Zahid diberi kemenangan lagi, ada baiknya Perdana Menteri memberi tugas sepenuh masa kepadanya untuk memantap dan memperkuatkan Umno saja. Beliau bukan saja perlu memastikan sokongan kuat Melayu luar bandar terhadap Umno kekal tetapi juga hendaklah berusaha mendekati golongan Melayu bandar, golongan profesional dan pengundi muda yang selama ini agak jauh supaya lebih dekat dengan Umno.
Biarlah beliau menumpukan masa dan tenaganya untuk Umno saja kerana Zahid dengan wataknya yang ada sekarang hanya sesuai menjadi pemimpin Umno saja tetapi agak kurang sesuai memegang jawatan sebagai menteri yang perlu bertanggungjawab kepada semua kaum dan bangsa. – shahbudindotcom
Tiada ulasan:
Catat Ulasan