Sesuai dengan peralihan kepimpinan Umno dari 'oder lembik' (Pak Lah Badawi) kepada 'oder keras' (Najib Razak), kepimpinan baru sedang bersemangat untuk melakukan transformasi bagi menjamin Umno menjadi sebuah parti yang gah dan berintegriti selama-lamanya.
Maka proses pemilihan pemimpin pun dibuat secara baru. Dalam kaedah baru ini sistem kouta sudah tiada lagi, sesiapa saja boleh bertanding merebut jawatan tertinggi di peringkat presiden, timbalan presiden, ketua pemuda, wanita, puteri atau ahli MT.
Sesiapa sahaja boleh mendaftarkan diri untuk bertanding dengan syarat namanya masih ada dalam buku pendaftaran Umno. Itu sahaja. Jangan hirau apakah seseorang itu layak, aktif ataupun sepanjang masa berkhidmat kepada parti dan ahli di kawasannya atau tidak.
Kalau pun dia berada di negeri lain tetapi kalau namanya sebagai ahli di dalam kawasan di negeri asalnya ada, dia tetap dikira layak untuk bertanding merebut apa-apa jawatan di peringkat bahagian itu.
Begitu juga dengan pengundian, dahulu semua pengundian untuk jawatan tertinggi dilakukan pada hari perhimpunan agung. Mereka yang menjadi perwakilan dari bahagian yang menentukan. Tetapi hari ini pengundian dilakukan diperingkat bahagian dengan melibatkan lebih ramai ahli yang membuat piilihan, sebanyak 140,000 berbanding dahulu sekitar 1,500 orang ahli saja.
Ini pun kalau hendak dikata proses baru ini terbuka dan demokratik, masih boleh dipertikaikan kerana angka yang dibenarkan mengundi itu jauh lebih rendah dari keahlian Umno yang kini sudah mencecah 3.4 juta?
Mungkin di peringkat pusat kaedah baru ini berkesan kerana ia ada peraturan untuk menentukan apakah seseorang itu layak mendaftarkan diri bagi bertanding jawatan peresiden timbalan, naib atau ahli MT. Mereka diperlukan duduk dalam jawatan kuasa bahagian dalam tempoh tertentu. Ertinya pencalonan untuk jawatan itu ada juga syarat-syarat dan pemantauannya.
Tetapi diperingkat bahagian syaratnya agak longgar dan semacam terbuka tanpa ada tapisan langsung. Misalnya sesiapa saja boleh daftar diri bertanding apa sahaja asalnya dia menjadi ahli Umno. Tidak ada sebarang syarat tambahan lain untuk mana-mana calon. Disebabkan terkebukaan ini ia menimbulkan sedikit kecatatan dan menjadikan kaedah pemilihan baru 'lus' bukannya telus.
Ambil dua contoh yang berlaku di Kelantan dan pasti juga berlaku di negeri lain. Ada ahli yang sudah lama meninggalkan bahagian, tidak menjadi ketua peringkat cawangan tetapi boleh bertanding kerana nama mereka adal dalam daftar keahlian. Melucukan lagi di peringkat cawangan sendiri pun mereka kalah hatta untuk jadi perwakilan ke bahagian pun tidak layak tetapi boleh mendaftarkan diri bagi bertanding ketua bahagian.
Dalam kes lain pula calon itu sudah pun mengistyharkan diri keluar parti dan menyertai Pas sebanyak dua kali. Tetapi masih layak mendaftar diri sebagai calon ketua bahagian tanpa bantahan. Dimanakah moral dan integriti kaedah itu kalau hal-hal begitu masih dibiarkan. Rasanya semua orang tahu bahawa ahli berkenaan sudah mengistyharkan diri keluar parti. Apakah pengistyharan itu tidak secara automatik ia sudah keluar menjadi ahli Umno? Anih binti ajaib.
Dalam satu lagu kes seorang calon timbalan sudah didapati bersalah oleh parti kerana melakukan sesuatu yang menjatuhkan maruah parti di dalam pilihan raya tetapi masih dibenarkan bertanding mempertahankan kedudukannya sebagai timbalan ketua bahagian.
Manakala dalam satu kes lain ada calon ketua puteri Umno bahagian di mana cawangan pimpinannya sendiri sudah mati. Tetapi dia masih dibenarkan bertanding jawatan ketua puteri. Seharusnya perkara itu menjadi syarat bagi melayakan mereka mendaftarkan diri bertanding untuk apa-apa jawatan.
Macam mana mereka ini yang sudah ternyata lemah, cacat dan tidak komited dengan parti dibenarkan bertanding merebu jawatan. Bukankah pemilihan untuk mendapatkan seorang ketua yang berwibawa, integriti dan sebagainya. Kalaulah calon-calon catat atau cemar begitu dibenarkan bertanding ia tidak akan mencapai matlamat diharapkan.
Paling bahaya ialah bagi calon yang berada di luar tiba-tiba balik bertanding. Mereka tidak ada rangkaian di peringkat bahagian. Dalam erti kata lain tidak ada budi dan jasa. Mereka tidak ada aset untuk mendapat sokongan perwakilan. Dalam situasi sebeginilah rasuah politik akan berlaku. Mereka sudah tentu menggunakan wang untuk meraih sokongan.
Seharusnya pemilihan di peringkat bahagian perlu dipantau dan dikenakan syarat-syarat tertentu kepada setiap calon. Syarat mungkin tidak begitu sofisikated sangat tetapi cukup menggariskan beberapa peraturan mudah seperti setiap calon yang hendak bertanding di peringkat bahagian mesti melepasi tapisan ringan cawangan terlebih dahulu. Semisalnya mereka hendaklah menjadi ketua cawangan dan cawangan itu pula harus aktif.
Syarat lain boleh ditambah, pastikan mereka berada dalam kawasan atau secara umumnya mendapat sokongan moral sekurang-kurang 1/3 daripada cawangan. Begitu juga mereka yang diragui keahlian atau pun pernah digantung atau melakukan sebotaj kepada parti, dihukum dengan apa-apa bentuk hukuman dan kesalahan hendaklah dihalusi oleh pihak pimpinan negeri.
Tujuan dikenakan syarat-syarat sebegini bagi menjamin proses pemilihan berjalan atas aspirasi yang dikehendaki dan ianya tidak akan diketawakan oleh orang ramai dan juga pemerhati.
Sekiranya kecacatan dan kecemaran kecil dalam proses pemilihan cara baru ini tidak diperbetulkan, transformasi yang dilakukan Najib Razak yang disifat sebagai berani oleh para pemujanya ia tidak membawa apa-apa erti besar. Pemerhati khasnya bukan saja tidak nampak dimanakan dinamikanya proses itu melainkan ia hanya satu iklan murah semurah iklan sabun di tv hitam putih sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan