Ahad, 29 September 2013

Jika Mukhriz menjadi naib presiden, ia TIDAK membawa perbezaan

MALAYSIA CHRONICLE



Kerajaan dan pimpinan hari ini sedang menghadapi krisis keyakinan terburuk dalam sejarah kewujudan negara ini. Tiada lagi kita mendengar orang atau kumpulan bersetuju dengan segala apa yang dilakukan kerajaan sekarang. Suasana ini wujud mesti bersebab. Sebab itu yang belum difahami oleh pimpinan kerajaan sejak hampir dua dekad dahulu. Tahap keyakinan terendah ini bukannya wujud dalam sekelip mata tetapi setelah ia menyemarak sejak dua dekad dahulu secara beransur-ansur.

Ibarat sebuah kereta, jika ia diselenggara dengan baik, kereta itu akan bertahan lama untuk dipandu. Tetapi jika tidak diselenggara dengan baik dan konsisten kereta itu tidak akan bertahan lama dan akhirnya kita tidak akan ada lagi keyakinan kereta itu boleh dipandu dengan selamat.

Begitu jugalah sebuah negara. Jika tidak diselenggara dengan baik oleh pemimpin, maka pemimpin itu tidak akan diyakini mampu untuk menyelenggara negara ini. Rasuah menjadi perkara dan isu terbesar di negara ini kerana ia berlaku di setiap peringkat dan oleh semua yang mempunyai kuasa walaupun kuasa yang kecil. Pegawai kerajaan tertinggi dengan penggubal dasar melakukan rasuah dalam skala yang bersesuaian dengan pangkatnya dan kedudukannya. Budak pejabat pun melakukan rasuah tetapi mengikut skala dan kedudukan mereka.

Pendeknya rasuah berlaku di setiap tempat dan setiap tahap dan itu sudah menjadi lumrah dan telah pun dibudayakan oleh keadaan sekarang. Rasuah dianggap halal dan mereka yang tidak mengambil serta mengamalkan rasuah sudah dianggap ketinggalan zaman dan bodoh. Kuasa di negara ini berjalan selari dengan rasuah kerana rasuah itu adalah sinonim dengan rasuah.

Selalau saya katakan rasuah dan kuasa itu seperti aur dengan tebing, saling memerlukan di antara satu dengan  lain. Tanpa kuasa tidak dapat melakukan rasuah dan tanpa rasuah tidak akan dapat kuasa yang diidamkan. Malahan melakukan rasuah itu menjadi kebanggaan. Bukan aneh jika kita mendengar peniaga berkata yang mereka layak untuk mendapatkan projek kerana mereka membayar dan memberi rasuah kepada sesiapa yang berkuasa bagi memberikan mereka projek besar di negara ini.

Dua hari lalu Tengku Razaleigh (TR) mendesak semua menteri, termasuk Perdana Menteri dan bekas-bekas Menteri termasuk bekas Perdana Menteri, mengisytiharkan harta mereka. TR mengatakan beliau sendiri bersedia untuk melakukannya demi untuk menjaga imej kepimpinan negara dan memastikan Umno dan kerajaan itu terus relevan di mata dan hati rakyat yang memberi mandat kepada mereka.

Jika benar apa yang dinyatakan oleh pimpinan yang mereka mahu mendapatkan mandat terus itu semata-mata untuk memberi khidmat kepada rakyat, kenapa pengisytiharan harta ini menjadi masalah besar kepada semua pemimpin kita? Jika benar apa yang dikata mengisytiharkan harta ini akan mendapat sambutan dan setiap pemimpin kita akan dengan rela hati dan menyokong seruan untuk pengiystiharan harta itu.

Seruan itu sepatutnya mendapat sokongan kuat kerana dengan pengisytiharan harta itu akan memulihkankan imej dan pandangan serong masyarakat tempatan dan antarabangsa terhadap negara kita yang melekat dengan stigma rasuah itu. Malah ini formula terbaik bagi kerajaan dan pimpinan hari ini terhindar daripada tuduhan rasuah yang di lemparkan terhadap pimpinan hari ini.

Tetapi jika seruan dan pandangan ini tidak dihiraukan maka ia sekali gus mengiyakan pandangan dan tuduhan ramai yang pimpinan hari adalah pimpinan yang sarat dengan rasuah itu. Tiada sebab barisan pimpinan hari ini tidak bergembira untuk membersihkan imej mereka dengan mengisytiharkan harta mereka. Perdana Menteri dan barisan Kabinet beliau sepatutnya bertindak cepat untuk mengisytiharkan kerana itu cara terpantas membersihkan nama mereka.

Jika mereka (pimpinan) tidak mahu atau bergembira untuk mengisytiharkan harta mereka maka sah dan benarlah wujudnya perlakuan rasuah yang besar di kalangan pimpinan negara. Jika rakyat mengambil tindakan membenamkan kerajaan hari ini, itu adalah tindakan yang sangat wajar.

Rakyat benar-benar tertekan dengan rasuah ini kerana pimpinan yang rasuah tidak mungkin dapat mengambil keputusan dengan baik dan betul. Kerajaan boleh menggubal dasar demi dasar untuk rakyat, dan boleh mewujudkan pelan memperkasakan ekonomi Bumiputra dan berbagai-bagai tindakan yang mempunyai jargon besar, tidak ada yang akan dapat dijayakan dengan betul dan berkesan.

Ketirisan akan berlaku di mana-mana, akhirnya Bumiputra itu sendiri akan merasakan tekanan itu kerana mereka tidak akan dapat merasakan nikmat penggubalan dasar itu. Malahan Bumiputra akan dipandang rendah oleh kaum bukan Bumiputra kerana mereka akan menyangka mereka (Bumiputra) itu mendapat nikmat dasar itu yang sebenarnya mereka tidak rasai itu. Maka perasaan benci membenci di antara kaum itu akan bertambah besar, rakyat Bumiputra pula akhirnya mendapat nama busuk daripada kegagalan pelaksanaan dasar ‘affirmative’ untuk mereka (Bumiputra).

Setakat ini, janji kerajaan semasa pilihan raya belum diusahakan tetapi dikeluarkan pula dasar baru yang kini dirasakan ramai akan tinggal sebagai dasar sahaja.

Sebenarnya kerajaan yang baru mendapat mandat ini tidak akan berjaya dalam kesemua tindakan mereka kerana selagi mereka yang ada dalam pimpinan Umno hari ini tidak boleh dipercayai dan diyakini kemampuan mereka. Mereka wajib berhenti dan bersara sahaja seperti saranan Dr Mahathir tiga hari lalu.

Hanya yang tidak mahu diakui Mahathir ialah,mereka yang memimpin sekarang ini adalah hasil kepimpinan beliau sendiri. Beliau tidak menumpukan pembinaan kepimpinan bersih dan mempercayai hakikat rasuah itu adalah kerja paling hina, sama seperti pelaku sodomi dan setaraf dengannya.

Apa yang kita alami hari ini adalah warisan beliau dan pengkaji sejarah akan mempunyai bahan yang besar untuk penulisan mereka untuk dibaca generasi akan datang. Sekarang Mahathir berusaha untuk menyangkutkan anak beliau di dalam barisan kepimpinan tertinggi parti kononnya untuk memberikan nafas baru kepada Umno yang kini mempunyai kepimpinan yang tua dan sudah buruk dan tidak elok dipandang mata lagi.

Rupa-rupanya beliau dan generasi beliau sahaja yang layak untuk dianggap terbaik untuk negara. Beliau menuduh semua pimpinan dalam Umno kini bodoh Jika tuduhan Mahathir itu benar, maka benar jugalah anggapan setengah pihak yang sepandai mana pun seseorang itu, mereka akan menjadi bodoh setelah menyertai kepimpinan Umno.

Maka itu jugalah yang akan berlaku kepada Mukhriz dan beliau akan menjadi seperti pemimpin lain jika berjaya menjadi Naib Presiden Umno dalam pemilihan yang bakal diadakan nanti. Penyakit rasuah dalam Umno dan kerajaan begitu ‘contagious’ dan Mukhriz tidak akan dapat memberikan apa-apa perbezaan kepada parti jika beliau dibariskan sebagai Naib Presiden Umno itu.

Semua sama sahaja dan elok digilirkan jawatan itu dengan Isa Samad dan Ali Rustam sahaja. Kalau digilirkan dua orang di antara tiga penyandang itu, Isa bolehlah mengambil giliran kali ini. Seperti yang saya katakan tadi, mereka itu sama sahaja, tidak ada lebih dan yang kurang di antara mereka. Lebihnya Isa beliau tidak sombong. Hidungnya terletak di tempatnya, tidak di atas dahi.

Begitulah adanya.  – aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan: