PETALING JAYA : Walaupun ekonomi global masih tidak menentu, Selangor mengekalkan prestasi yang memberangsangkan dan berharap kejayaan itu berterusan hingga ke tahun hadapan melalui siri-siri kerjasama bersama pelabur asing.
Bercakap kepada diplomat dan delegasi dari dewan perniagaan asing di majlis minum petang di Intan Suite, Hotel Hilton Petaling Jaya, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata prestasi konsisten dan prasarana pendidikan yang baik menawarkan nilai tambah kepada peluang pelaburan di negeri ini.
“Pada 2012 dan 2013, kita mencatatkan prestasi yang lebih kuat dari segi pelaburan domestik dan pelaburan semula. Kita masih berharap untuk menarik pelaburan asing pada separuh tahun kedua 2013 dan pada 2014 khususnya. Justeru, kita merancang untuk mengiatkan lagi kerjasama antarabangsa dan misi dagangan dan pelaburan,” kata Khalid.
“Kita faham perlunya projek-projek pembangunan perumahan disepadukan dengan pembangunan industri kerana rakyat memerlukan pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi. Pendidikan akan menjadi isu penting dan dengan sukacita saya maklumkan Selangor merupakan tuan rumah kepada 100 institusi pengajian tinggi, 30 sekolah antarabangsa dan banyak pusat latihan kemahiran yang memberi nilai tambah kepada pembangunan industri,” tegas Khalid.
Hadir sama adalah Pesuruhjaya Tinggi Kanada Judith St George, Konsul Kehormat Suruhanjaya Tinggi Malta Paul Vincent Galea dan Duta Perancis Martine Dorance.
Exco Pelaburan dan Perindustrian Ean Yong Hian Wah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC) Hasan Azhari turut meraikan konsul-konsul dagangan, perwakilan dari suruhanjaya tinggi dan kedutaan, rakan-rakan niaga dan perwakilan-perwakilan dari dewan perniagaan asing.
Sehingga Jun 2013, Selangor mencatatkan jumlah cadangan pelaburan terbanyak, iaitu sebanyak 97 projek. Manakala dari segi jumlah pelaburan modal, Selangor utuh di tangga ke empat dengan pelaburan mencecah RM2.2 bilion.
Selangor menerusi SSIC telah menghantar misi dagangan dan pelaburan ke Jepun dan Korea baru-baru ini, diikuti dengan misi ke Jerman, Switzerland dan Belgium pada Oktober depan. Kepada para hadirin, Khalid turut menjemput kerjasama antarabangsa dalam pelbagai bentuk untuk mempromosikan pembangunan ekonomi mapan di Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan