Sabtu, 28 September 2013

Kerajaan tidak endah isu pembunuhan etnik Sri Lanka

sivakumar


KUALA LUMPUR: Kerajaan dipersoal berikutan sikap berdiam diri terhadap pembunuhan etnik Tamil di Sri Lanka tetapi menyuarakan bantahan dan pendirian terhadap negara-negara bergolak lain.

Demikian soal Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V. Sivakumar di Parlimen semalam dalam respon terhadap jawapan yang diberikan Kementerian Luar Negeri.

“Dalam soalan lisan, saya bertanyakan pendirian kerajaan Malaysia berhubung pembunuhan etnik Tamil di Sri Lanka dan jumlah mereka yang berada di negara ini termasuk bantuan yang diberikan.

“Apa yang saya kesal adalah apabila kerajaan memberikan jawapan yang lari dari soalan asal,” ujar beliau.

Dalam jawapan lisan itu, kementerian hanya berkata bahawa konflik yang berlaku di Sri Lanka itu adalah isu dalaman negara itu sendiri dan harus diselesaikan oleh rakyat negara itu.

“Kita rasa hairan kenapa kerajaan Malaysia ambil sikap double standard? Kalau negara lain kenapa kerajaan kita lantang bersuara?,” soalnya yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak.

Siva berkata, kerajaan juga tidak memberikan jumlah pelarian etnik Tamil Sri Lanka ke negara ini yang berdaftar di bawah UNHCR.

“Bila saya tanya di parlimen tak dapat jawapan, jadi dimana lagi kita boleh dapat jawapan?,” soal beliau. – Roketkini.com

Tiada ulasan: