Anis Nazri, |
PETALING JAYA: DAP mengingatkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar tidak melakukan cubaan bagi menggagalkan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat parti itu yang diadakan hari ini.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh berkata sekiranya badan itu cuba mencari jalan menggagalkan pemilihan dan ia dilakukan dengan melanggar undang-undang, pihaknya akan mengheret ROS ke mahkamah.
"Saya bagi amaran kepada ROS, jangan cuba main-main dengan parti ini yang begitu kuat. Saya sudah mula memperhatikan ROS ini sejak Disember lalu dan saya akan terus memerhatikannya. Ini amaran terakhir saya kepada ROS," tegas beliau ketika berucap di Kongres Khas DAP, di sebuah hotel di sini, pagi ini.
Menyifatkan kongres hari ini sebagai satu sejarah kerana diadakan dua kali, Karpal berkata kongres yang mencatatkan kehadiran kira-kira 85 peratus hari ini menunjukkan parti itu sebagai sebuah parti yang kuat.
Pemilihan PRU14
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu turut mengingatkan para perwakilan agar memilih satu jawatankuasa yang kuat bagi persiapan parti itu dan Pakatan Rakyat menghadapi pilihan raya umum ke-14 kelak.
Saranan tersebut, katanya bukan menganggap kepimpinan yang dipilih sebelum ini tidak kuat, sebaliknya memperkuatkan lagi kepimpinan agar DAP bersama Pakatan Rakyat menawan Malaysia pada pru-14.
Karpal dalam masa yang sama turut memuji semangat yang ditunjukkan pimpinan muda dan mahu agar mereka menjadi pelapis yang kuat pada masa akan dating.
“Orang muda ini, anda adalah pelapis untuk menubuhkan kerajaan masa depan. Untuk Malaysia yang lebih baik.
“Apa yang saya lihat, kita jangan putus asa kerana kita ada peluang dalam pilihan raya akan datang. Kita dan Pakatan Rakyat (PR) akan berjuang merebut kuasa dari Barisan Nasional,” katanya.
Pada pemilihan hari ini, semua senarai calon yang bertanding untuk 20 jawatan tertinggi parti kekal seperti mana pemilihan pada Disember 2012 yang lalu.
Bagaimanapun, terdapat 17 orang calon menarik diri dan dua meletak jawatan menjadikan bilangan yang calon yang bakal dipilih perwakilan berjumlah 47 orang berbanding 66 calon tahun lalu.
Pemilihan semula hari ini diadakan berikutan ROS mengumumkan pemilihan sebelum ini tidak sah ekoran terdapat dakwaan kononnya terdapat perwakilan yang tidak diberikan notis untuk menghadiri kongres sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan