Isnin, 2 September 2013

Shahidan jamin beri Anwar ruang di Parlimen


Shahidan Kassim Datuk Seri Shahidan Kassim
 
SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jaminan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberi ruang di Parlimen bagi berbincang soal masalah negara seperti yang dicadangkannya, kelmarin.
 
Menurut Shahidan, Parlimen merupakan tempat terbaik untuk berbincang soal perpaduan.
 
"Saya sebagai menteri yang menjaga Parlimen akan memastikan Anwar mendapat ruang untuk membawa perkara ini ke Parlimen.

"Saya cadangkan supaya Anwar bawa hal ini ke Parlimen untuk dibincangkan kerana Parlimen adalah tempat yang baik untuk bincang soal perpaduan," katanya kepada Sinar Harian Online.

"Sudah pasti untuk tujuan yang baik ini, dia akan mendapat sokongan.

"Jika Anwar benar-benar ikhlas dan tidak ada niat yang lain daripada itu, dia hendaklah bawa hal ini ke Parlimen," tambahnya lagi.

Anwar sebelum ini mencadangkan supaya diadakan pertemuan di antara pihak kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan masalah negara yang harus ditangani.

Menurut Anwar, pertemuan itu perlu diadakan bagi menyelamatkan negara di samping menyeru melupakan kesalahan masing-masing sempena hari kemerdekaan negara.

"Malah soal perpaduan ini sudah disebut Datuk Seri Najib semasa kemenangan PRU lalu.

"Sekarang Anwar menawarkan diri tapi tak apa. Sebab ia perkara baik," ujar Shahidan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam berkata, tiada sebarang 'isu-isu kebangsaan' yang perlu dibincangkan antara Anwar dan kerajaan.

"Segala-galanya semata-mata tentang politik dan jika beliau (Anwar) mahu berbincang, beliau perlu membawa perkara ini ke Parlimen.

Sementara, menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mencadangkan supaya Anwar membawa usul mengenai dialog isu kebangsaan ke persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.

"Apa sahaja perkara yang hendak dibincang, dirunding, (kita) bawa dalam Parlimen sebab kita kena telus tentang perkara ini supaya rakyat tahu," katanya.

Tiada ulasan: