Rabu, 18 September 2013

Peniaga syukur sewa Kompleks PKNS berpatutan, bantu ekonomi Bumiputera

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Zainab Zainal AbidinZainab Zainal AbidinKadar sewa yang dikenakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kepada penyewa kompleks itu masih berpatutan dan jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan pusat membeli-belah komersial yang lain .

Ketua Unit Pelaburan dan Pengurusan Hartanah PKNS, Fakru Radzi Ab Ghani, berkata Kompleks PKNS adalah satu usaha menggalakkan peniaga Bumiputera untuk memperkasakan taraf ekonomi mereka.

"Kira-kira 85 peratus penyewa di bangunan ini adalah Bumiputera dan sewa yang dikenakan masih munasabah iaitu 40 hingga 50 peratus jauh lebih rendah berbanding nilai pasaran semasa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
 
Sementara itu, peniaga barangan runcit, Zainab Zainal Abidin, 62, berkata, sewa PKNS masih mampu ditanggung sambil menyatakan keyakinan perbadanan itu tidak akan menyisihkan kaum Bumiputera.

"Saya sudah berniaga di sini hampir 30 tahun dan saya berpuas hati dengan kadar sewa yang dikenakan kerana amat berpatutan jika dibandingkan dengan tempat membeli-belah yang lain," katanya.

Wan Abdullah Wan AhmadWan Abdullah Wan AhmadWan Abdullah Wan Ahmad, 48, berkata, PKNS banyak membantu daripada segi mempertingkat taraf ekonomi Bumiputera sambil menyatakan kesyukuran diberi peluang untuk berniaga di kompleks itu.

Katanya, PKNS diharapkan dapat segera menaik taraf kemudahan di kompleks itu supaya lebih ramai pengunjung yang datang dan membeli-belah dalam keadaan lebih selesa.

"Di sini tempat saya mencari rezeki, PKNS sentiasa memberi peluang kepada peniaga. PKNS turut membantu kami mempromosikan kompleks ini kepada pengunjung," katanya.

Fakru Radzi berkata, PKNS akan menjalankan kerja penambahbaikan dan menaik taraf kemudahan Kompleks PKNS Shah Alam bermula Oktober depan bagi keselesaan peniaga dan pengunjung kompleks.

Katanya, PKNS menerusi anak syarikatnya PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) akan merancakkan lagi aktiviti mempromosikan pelbagai program bagi menarik lebih ramai orang awam untuk membeli-belah di Kompleks PKNS.

"Pada masa sama ia dapat membantu meningkatkan pendapatan peniaga di kompleks yang keseluruhannya adalah peniaga Bumiputera," katanya.

Tiada ulasan: