Khamis, 5 September 2013

Pemuda Umno Gesa Kerajaan Titik Berat Kebajikan Rakyat Dalam Bajet 2014

 


KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya menitik beratkan kebajikan rakyat ekoran keputusan pengurangan subsidi petrol dan diesel.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata beberapa langkah dan bantuan boleh diperkenalkan kerajaan secara khusus melalui Bajet 2014 yang akan dibentangkan pada Oktober.

"Kami melihat peluang untuk melindungi golongan berpendapatan sederhana dan rendah boleh diterjemahkan dalam bentuk bantuan kerajaan seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) dan potongan cukai wajar diperkenalkan kerajaan dalam belanjawan akan datang untuk membantu golongan ini dengan cara lebih khusus.

"Kerajaan mesti tampil dengan satu belanjawan yang mengambil kira kedudukan golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang berdepan dengan kesan kos sara hidup yang meningkat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno di sini, Rabu.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata susulan pengumuman tersebut, harga barang pasti akan naik.

Justeru, beliau menggesa agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengambil tindakan cepat dan tegas terhadap pengusaha dan syarikat yang menaikkan harga barang secara tidak munasabah.

"Kita harap kerajaan mengambil serius isu kenaikan harga barang yang sudah pasti akan berlaku susulan pengurangan subsidi petrol dan diesel," katanya.

Beliau menambah, adalah menjadi keutamaan bagi sayap parti itu untuk melihat pelan jelas kerajaan dalam belanjawan akan datang.

Selain itu katanya, kerajaan juga harus mempercepatkan usaha membuka dan memecahkan monopoli yang diberi kepada beberapa syarikat yang menyebabkan harga beberapa barangan berada pada paras tinggi.

"Jika untuk beberapa barangan dapat kita buka secara liberal dengan memecah monopoli tersebut, kita yakin ia akan membantu dari segi pengurangan harga barang dan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat," ujarnya.

Khairy turut menggesa kerajaan mengkaji subsidi yang diberikan kepada syarikat-syarikat besar seperti subsidi gas.

"Sekiranya mahu kurangkan subsidi kepada rakyat, kita gesa kerajaan mengkaji sama ada subsidi (syarikat) itu juga dapat dikurangkan.

"Kita dapati program pengurangan subsidi ini mestilah ditanggung semua pihak, bukan hanya subsidi am sahaja yang dikenakan oleh kerajaan," katanya.

Tiada ulasan: