Wartawan Sinar Harian

SHAH ALAM – Setiap Ahli Parlimen bebas membawa usul masing-masing termasuk isu kenaikan harga petrol RON95 dan diesel dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung 23 September hingga 3 Oktober depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, setiap usul yang dibawa akan dibincangkan dan seterusnya terserah kepada Speaker untuk membuat keputusan.

Bagaimanapun menurutnya, beliau percaya Ahli Parlimen tidak akan membawa usul berkenaan kerana mereka mereka sedia maklum kenaikan ini demi memantapkan ekonomi negara.

“Namun terpulang kepada mereka untuk berucap kerana masing-masing ada hak untuk bercakap mengenai sebarang isu,” katanya, semalam.

Persoalan ini bangkit berikutan pengumuman kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen berkuat kuasa 3 September lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mendapat bantahan sesetengah pihak.

Dalam pada itu, Shahidan memuji tindakan Persatuan India Muslim Malaysia yang menerima keputusan kerajaan menaikkan harga bahan bakar tersebut secara terbuka.

“Kebanyakan ahli persatuan ini menyatakan kenaikan tersebut bukanlah satu masalah besar kepada mereka.

Sekiranya menjejaskan harga barangan sekali pun mereka berkemungkinan menaikkan harga jualan sebanyak 1 peratus sahaja,” katanya.