Ahad, 8 September 2013

Paip pecah: SYABAS aktifkan pelan kecemasan



 
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) di Klang dan Shah Alam pada tengah hari tadi berikutan paip pecah, yang menyebabkan 5,921 pengguna mengalami gangguan bekalan air.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata SYABAS telah melantik kontraktor untuk mengenal pasti lokasi dan punca kejadian paip pecah.

"Lokasi kejadian masih belum dikenal pasti menyebabkan kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilakukan dengan segera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Syabas akan menyalurkan bantuan dari semasa ke semasa termasuk membuka dua Pusat Perkhidmatan Setempat (PKS) di Jeti Pulau Ketam dan Jeti Sungai Lima.

Beliau berkata untuk aduan atau pertanyaan pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan SYABAS (PUSPEL) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPELaduan / pertanyaan dan hantar kepada 39222.

Pengguna juga boleh membuat aduan di laman Facebook atau Twitter SYABAS dengan menaip ‘puspel’ atau ‘puspel syabas’. - Bernama

Tiada ulasan: