Khamis, 5 September 2013

Minyak naik: Rakyat terus jadi mangsa


Oleh Jofri Jaraiee

Setiap kali kenaikan harga minyak berlaku, sudah pasti ramai pengguna kenderaan akan berpusu-pusu membeli minyak di stesen minyak yang berdekatan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Akibat pengumuman secara mengejut dari pihak kerajaan tentang kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter pada 2 september yang lalu, ramai pengguna menjadi kelam kabut di saat akhir untuk mendapatkan bahan bakar itu. 

Mereka terpaksa beratur panjang di semua stesen minyak semata-mata mahu memenuhkan tangki petrol mereka agar dapat mengurangkan sedikit pembelanjaan disebabkan harga petrol akan naik keesokkan harinya.

Ada diantara pengguna yang mengadu, mereka yang hendak membeli minyak pada waktu petang disekat kononnya minyak sudah habis. Mengapa perkara semacam ini boleh berlaku?

Sepatutnya pihak kerajaan membuat pengumuman lebih awal agar pengguna tidak menjadi kelam kabut akibat tergesa-gesa hendak membeli minyak di saat akhir.

Penduduk yang tinggal di luar bandar dan pedalaman Sarawak yang masih belum mendapat bekalan elektrik sepenuhnya juga akan menerima kesan dari kenaikan harga bahan api ini.

Di mana masih ramai pengguna di luar bandar yang menggunakan genset atau penjana yang menggunakan diesel atau petrol untuk mendapatkan bekalan elektrik sudah pasti kehidupan golongan ini akan bertambah susah disebabkan kenaikan kos minyak untuk menjana tenaga elektrik akan meningkat.

Walaupun mungkin mereka hanya boleh menggunakan RON95 yang berharga Rm1.90 untuk beberapa hari tetapi cara pihak kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak di saat akhir amat dikesali.

Kesan dari kenaikan harga diesel dan petrol RON95 ini akan menyebabkan kenaikan semua barangan keperluan harian, ini sudah pasti akan menyusul terutama di kawasan pedalaman disebabkan kos pengangkutan akan naik akibat harga diesel dan petrol naik.

Apakah hanya dengan alasan untuk menaikkan BR1M dari RM500 ke RM1,200 menyebabkan rakyat jadi mangsa, bukan semua rakyat yang berpendapatan rendah mendapat BR1M tapi hanya segelintir saja  yang menikmatinya itupun kalau dikira mereka hanya dapat RM100 sebulan kalau dibandingkan kesan harga barang keperluan naik melebihi dari pemberian BR1M.

Sepatutnya perkara ini perlu dikaji semula agar masalah kenaikan harga petrol tidak menyusahkan dan membebankan kehidupan rakyat biasa terutama golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.  Bagi golongan kaya dan jutawan masalah ini boleh dipandang remeh sebab pendapatan mereka melebihi dari kenaikan harga petrol tersebut. Apakah jaminan pihak kerajaan untuk mengawal kenaikan harga barang keperluan harian disebabkan kenaikan harga minyak?

Kita mengesa agar pihak kerajaan dapat menurun semula harga petrol  ke tahap  yang minimum agar ianya tidak menyusahkan kehidupan rakyat biasa. Apa kerajaan BN lupa kepada pengundi mereka yang tinggal di luar bandar dan pedalaman yang sudah pasti menerima akibat lebih teruk kesan dari kenaikan harga minyak ini.

Harga barang keperluan harian di luar bandar dan pedalaman Sarawak lebih tinggi dibandingkan dengan harga barangan keperluan di bandar disebabkan kos pengangkutan yang tinggi. Kerajaan yang perihatin sudah pasti akan mengutamakan kepentingan rakyat dulu dari kepentingan pihak kapitalis yang hanya ingin mengaut keuntungan semata-mata.

*Penulis adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak merangkap YDP PAS Miri

Tiada ulasan: