SYARIKAT penerbangan Malaysian Airline System Bhd (MAS) dan AirAsia Bhd (AirAsia) masing-masing didenda RM10 juta oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kerana melanggar undang-undang berhubung satu perjanjian antara kedua-dua syarikat itu pada 2011.

MyCC mendapati kedua-dua syarikat itu melanggar Seksyen 4(2)(b) Akta Persaingan 2010 dengan membuat perjanjian untuk berkongsi bahagian pasaran dalam sektor perkhidmatan pengangkutan udara di Malaysia.

Pengerusi MyCC, Tan Sri Siti Norma Yaakob berkata, perkongsian bahagian pasaran seperti dilakukan MAS dan AirAsia adalah kesalahan serius di bawah akta tersebut kerana perjanjian seperti itu menghalang atau mengganggu persaingan dalam mana-mana pasaran bagi produk atau perkhidmatan.

"Apabila syarikat bersetuju untuk berkongsi bahagian pasaran, mereka bersetuju untuk tidak bersaing dan kerugiannya ditanggung pengguna," menurut beliau dalam satu kenyataan, semalam.

Jumlah denda yang dikenakan kepada kedua-dua syarikat berdasarkan perolehan yang dikumpul mereka antara 1 Januari 2012 dan 30 April 2012 daripada penerbangan MAS dan AirAsia bagi empat lalu domestik iaitu Kuala Lumpur ke Kuching, Kota Kinabalu, Sandakan dan Sibu.

Menurut MyCC, denda itu adalah kurang 10 peratus daripada perolehan kedua-dua syarikat itu di seluruh dunia bagi tempoh tersebut, seperti tertakluk di bawah akta itu.

"Denda ini dikira berdasarkan beberapa faktor seperti kerjasama memberikan maklumat dan data untuk siasatan dan langkah sukarela yang diambil kedua-dua syarikat untuk mengeluarkan bab laluan dan fokus pasaran dalam perjanjian mereka," menurut kenyataan MyCC.

Menurut suruhanjaya itu, MAS dan AirAsia mempunyai 30 hari dari tempoh keputusan ini dibuat untuk memaklumkan kepada MyCC sama ada mereka ingin membuat pembentangan kepada MyCC.

[INO KES] Pada 9 Ogos 2011, MAS dan AirAsia membuat perjanjian yang bermatlamat untuk memfokus kepada kekuatan masing-masing, memberikan perkhidmatan lebih baik dan pilihan kepada pengguna serta memberikan nilai lebih kepada semua pihak yang berkepentingan.

Perjanjian itu turut membabitkan pertukaran saham antara pemilik MAS, Khazanah Nasional Bhd dan pemilik AirAsia, Tune Air Sdn Bhd yang akan memberikan
Tune Air 20.5 peratus saham dalam MAS manakala Khazanah memperoleh 10 peratus saham dalam AirAsia.

Kedua-dua syarikat turut bersetuju bahawa MAS akan menjadi syarikat penerbangan premium tunggal manakala AirAsia akan menjadi syarikat penerbangan tambang rendah bagi laluan dekat dan jauh.

Namun, perjanjian itu dibatalkan pada Mei 2012 selepas mendapat tentangan banyak pihak termasuk oleh kesatuan pekerja MAS.

MyCC kemudian atas inisiatifnya sendiri mengkaji perjanjian tersebut tetapi disebabkan perjanjian itu dibuat sebelum Akta Persaingan 2010 dikuatkuasakan, iaitu sebelum 1 Januari 2012, MyCC memulakan kajian serta siasatan secara formal hanya selepas penguatkuasaan akta tersebut.