Selasa, 10 September 2013

Isu Lynas: Perjuangan yang belum selesai

Anis Nazri,


Menyelusuri ruang pejalan kaki di Teluk Cempedak, Kuantan pada cuti Syawal lalu benar-benar mendamaikan. Ditemani bunyi desiran ombak, diiringi suara kanak-kanak berkejaran, cukup menghiburkan hati.

Pusat peranginan terkenal itu tetap dikunjungi pelbagai lapisan pengunjung yang mengambil peluang bermandi-manda, selain sekadar mengambil angin petang biarpun ketika itu hari keempat di bulan Syawal.

Di tengah-tengah keriuhan pengunjung yang tidak putus-putus beriadah bersama keluarga, mata penulis terpandang seorang lelaki warga emas yang menggamit penulis agar mendekatinya.

Melihat sahaja logo pada baju yang dipakainya, serta sekeping fail dan flyers di tangannya, penulis terus maklum tujuan lelaki berbangsa Cina itu menggamit.

Tanpa bertanya, penulis terus mengambil fail dari tangan lelaki berusia lingkungan 60-an itu, lantas menurunkan tandatangan ke atas ruang yang ada di fail tersebut.

Rupanya, dalam kesibukan umat Islam menyambut Syawal dan orang ramai bersantai di tepian pantai, lelaki itu mengambil peluang untuk mendapatkan tandatangan pengunjung bagi membantah operasi kilang Lynas yang mula beroperasi di Gebeng, Kuantan.

Penulis ingin melihat sudah berapa ramai yang menandatangani bantahan tersebut, namun terhalang ekoran anak kecil penulis yang berusia dua tahun sibuk menarik tangan penulis untuk meneruskan perjalanan santai petang itu.

Apa yang sempat penulis lihat pada lembaran tersebut, nama penulis berada di nombor lima dan empat nama di atas, telah ditandatangani oleh rakyat Malaysia berbangsa Cina.

Mungkin pada lembaran sebelumnya, sudah ramai yang bertindak menurunkan tandatangan sebagai tanda bantahan terhadap projek kontroversi itu.

Hakikatnya, sudah sekian lama penulis tidak mendengar perkembangan berkaitan badan anti-Lynas, iaitu Himpunan Hijau tentang kempen mereka.

Kesibukan menghadapi pilihan raya umum ke-13 lalu, turut menyebabkan penulis tidak mendapatkan perkembangan terbaru berkaitan kempen kumpulan ini.

Begitu juga apabila pengerusinya, Wong Tack diumumkan sebagai calon DAP di Parlimen Bentong, penulis cuba menghubunginya, namun gagal.

Seketika, isu Lynas tidak mendapat perhatian penulis sepanjang kempen pilihan raya lalu. Sehinggalah selepas pilihan raya, isu berkaitan Lynas sesekali terlintas di fikiran penulis.

Lalu, pertemuan penulis dengan aktivis anti-Lynas di Teluk Chempedak itu mengingatkan kembali tentang perjuangan Lynas yang belum selesai.

Penulis cuba mendekati aktivis itu kembali untuk berbual-bual dengannya, namun ketika itu beliau sedang melayani panggilan telefon untuk beberapa ketika.

Hasrat penulis tidak kesampaian apabila anak kecil penulis terus-terusan berusaha menarik tangan penulis untuk meneruskan perjalanan pada petang itu, sambil tercari-cari kelibat ayah dan abang-abangnya.

Penulis terpaksa meninggalkan Teluk Chempedak tanpa sempat berbual dengan aktivis Himpunan Hijau memandangkan hari sudah mula gelap, ditambah dengan cuaca yang agak mendung.

Sekembalinya penulis dari cuti Syawal, penulis mendapatkan maklumat berkaitan kempen mereka, khususnya tentang kempen mengumpul tanda tangan.

Kumpulan anti-Lynas sedang giat menjayakan kempen mereka di seluruh negara untuk mendapatkan sejuta tanda tangan dengan menempatkan beberapa aktivis mereka di kawasan-kawasan sasaran seperti pasar, padang permainan, malah di tempat awam.

Di Dataran Merdeka, kumpulan mereka yang diketuai sendiri Wong Tack sudah berkampung sejak 19 hari lalu. Biarpun pada peringkat awalnya kehadiran mereka diganggu beberapa anggota penguatkuasa DBKL, ia tidak mematahkan semangat mereka.

Malah, bandaraya Kuala Lumpur yang kebelakangan ini sentiasa dibasahi dengan hujan, turut tidak menjadi alasan untuk mereka meninggalkan kawasan tersebut.

Ketika penulis menghubungi Wong Tack, baru-baru ini, beliau yang pernah berjalan kaki dari Kuantan ke Kuala Lumpur, ketika kempen kumpulan itu Julai tahun lalu, tetap ceria dan bertenaga.

Ceritanya, hujan lebat dan angin kuat yang melanda Kuala Lumpur merupakan perkara kecil baginya untuk meninggalkan lapangan tersebut, malah turut teruja bercerita sikap beberapa penguatkuasa DBKL yang turut menurunkan tanda tangan mereka.

"Mula-mula dulu, memang mereka minta kami beredar. Tapi, lama kelamaan mereka sudah tidak kisah kerana kami tidak mengganggu sesiapapun. Malah, mereka juga turut 'sign'," cerita beliau sambil ketawa kecil.

Ketika penulis berbual dengannya, beliau berkata aktivis Himpunan Hijau telah berjaya mengumpulkan lebih 600 ribu tanda tangan yang menyokong perjuangan mereka menentang operasi kilang memproses nadir bumi itu.

Menjelang hari Malaysia, 16 Sept ini, Wong Tack berkata kumpulannya akan menyerahkan tanda tangan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan sokongan dan meminta campur tangan Agong.

"Pada tarikh itu, kami mengajak rakyat Malaysia yang sayangkan negara ini untuk turut bersama-sama kami ke Istana Negara. Kami anggap ia satu majlis keramaian untuk menyatakan bantahan terhadap kilang Lynas ini. Mereka yang turut tanda tangan kempen ini juga dijemput bersama," kata beliau sambil mengingatkan penulis agar turut serta turun ke Dataran Merdeka untuk menandatangani kempen sejuta tanda tangan itu.

Apabila penulis mengatakan penulis sudah berbuat demikian di Teluk Chempedak, Wong Tack berulang-kali mengucapkan terima kasih dengan nada penuh ceria dan bertenaga.

Sememangnya, isu Lynas dan isu-isu alam sekitar begitu dekat di hati penulis, memandangkan isu alam sekitar selalunya berkait-rapat dengan soal kesihatan dan kemusnahan alam.

Kilang bernilai RM700 juta yang dibina di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan itu menimbulkan kontroversi kerana didakwa bakal menghasilkan radiasi yang didakwa boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Kontroversi tersebut berterusan apabila kerajaan meneruskan dan membenarkan operasi kilang tersebut, biarpun beberapa siri demonstrasi diadakan bagi membantah kilang Lynas tersebut.

Tiada ulasan: