Selasa, 10 September 2013

Azalina tarik diri tanding Ketua Wanita Umno selepas “dinasihatkan”

OLEH YISWAREE PALANSAMY

Datuk Seri Azalina Othman Said (gambar) akan menarik diri daripada bertanding jawatan tertinggi dalam Wanita Umno sebaliknya hanya akan mempertahankan kedudukan sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan akan datang.

The Malaysian Insider difahamkan walaupun menjadi pencabar hebat kepada penyandang jawatan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menjelang pemilihan parti tidak lama lagi, Azalina dikatakan membuat keputusan itu selepas “dinasihatkan” berbuat demikian.

Difahamkan Azalina akan diberikan jawatan kanan dalam sayap Wanita Umno dan syarikat berkait kerajaan (GLC) jika tidak bertanding.

 Apabila dihubungi, Azalina berkata beliau tidak akan melawan Shahrizat dan akan membuat kenyataan rasmi pada 20 September, sehari sebelum pencalonan untuk sayap Wanita Umno, Pemuda dan Puteri.

“Beliau diberitahu sekarang bukan masanya untuk bertanding sebagai ketua sayap itu, jadi beliau hanya akan bertanding jawatan MT,” kata satu sumber yang rapat dengan Azalina kepada The Malaysian Insider.
“Beliau juga tidak akan bertanding jawatan nombor dua buat masa ini,” katanya.

Azalina adalah penyandang ahli MT Umno yang dilantik menyertai badan itu pada 2000 oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas presiden Umno.

Azalina dikenali dengan penampilan tegas dan ahli politik wanita lantang yang memenangi kerusi Parlimen Pengerang dalam Pilihan Raya 2013 dengan pertandingan selepas dua penggal menang tanpa bertanding.

Pada 5 Mei, Azalina berhadapan dengan pertandingan tiga penjuru selepas dicabar calon PKR yang juga penyanyi popular 1980aan Dayangku Intan dan calon bebas Mohd Azaman Johari, seorang guru.

Satu lagi sumber memberitahu The Malaysian Insider Azalina diberikan ganjaran jawatan GLC kerana tidak menggugat karier politik Shahrizat.

Ini kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini melantik Shahrizat sebagai penasihat khas hal ehwal wanita.

Jawatan itu bertaraf menteri dan mensasarkan Shahrizat kekal memimpin Wanita Umno.

Azalina yang juga bekas Ketua Puteri Umno mengisytiharkan secara terbuka untuk mencabar Shahrizat pada Jun tahun ini.

Beliau juga pernah menganggotai Kabinet sebagai Menteri Pelancongan dari 2004 hingga 2008 dan Menteri Belia dan Sukan selama hanya setahun dari 2008 hingga 2009.

Tiada ulasan: