Oleh Nazar Hashim
SUNGAI PETANI: Himpunan Solidariti Kemanusiaan akan
diadakan 6 September (Jumaat) ini di Stadium Malawati, Shah Alam,
Selangor mulai 6 petang hingga 11.15 malam.
Dengan tema ‘Mengangkat Karamah Insaniah, Membela Maruah Ummah’,
himpunan anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia dan NGO-NGO Kemanusiaan
Malaysia itu antara lain menampilkan slot pidato pemimpin umat oleh
Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Mahfuz Omar dan Usamah Hamdan (Hamas).
Anwar menyeru umat Islam yang cintakan keamanan hadir beramai-ramai pada himpunan itu.
“Kita mesti buktikan dengan pendirian yang tegas menentang kezaliman
dan kerakusan kuasa yang berlaku seperti di Mesir, Syria dan Palestin,”
tegas Ketua Umum KEADILAN itu.
Beliau
berucap demikian pada sambutan Ambang Merdeka dan majlis Rumah Terbuka
KEADILAN Kedah di Taman Seri Wang, di sini 30 Ogos lalu.
Anwar berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diibarat masih
lagi dijajah selagi tidak bersuara terhadap kezaliman ke atas umat
Islam, khususnya Mesir dan Syria.
Ia ekoran sikap Najib yang dilihat tidak tegas menyatakan pendirian, termasuk isu penindasan membabitkan umat Islam di Palestin.
“Sehingga kini, Perdana Menteri masih tidak berani menyatakan
pendirian tegas mengenai kezaliman yang berlaku walaupun beberapa kali
didesak untuk berbuat demikian.
“Apakah setelah Amerika menyatakan pendirian mereka, baru Malaysia
mahu menyokong. Ini tindakan tidak betul. Malaysia mesti berpendirian
tanpa menanti keputusan Amerika.
“Sekiranya ini pun Najib tak berani, negara bukan saja mempunyai
pemimpin yang tidak merdeka pemikiran, tetapi masih lagi terjajah dan
tidak bebas,” katanya.
Amerika baru-baru ini mengumumkan akan melakukan serangan terhadap
Syria yang dipimpin diktator Bashar Al Assad ekoran dakwaan penggunaan
senjata kimia yang menyebabkan lebih 600 rakyatnya terbunuh.
Pada masa sama, krisis di Mesir bagaikan tidak berkesudahan
menyaksikan ribuan rakyat terkorban selepas junta tentera merampas kuasa
daripada presiden yang sah dipilih rakyat, Mohammad Morsi.
Hadir sama dalam program tersebut, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk
Johari Abdul; Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid
Hasnon serta pimpinan Pakatan Rakyat Kedah dan Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan