Ahad, 8 September 2013

Himpunan Hijau 2.0 Oktober depan

BULETIN ONLINE

KUALA TERENGGANU – Aktivis alam sekitar, Cheong Siow Foon yang mewakili NGO Himpunan Hijau berkata, pihaknya merancang mengadakan ‘Himpunan Hijau 2.0′ pada bulan Oktober depan bagi meneruskan bantahan terhadap pemerosesan ‘nadir bumi’ oleh Lynas Corporation.

Menurutnya, kempen NGO tersebut pada kali ini bertema ‘Kuburkan Lynas dengan sejuta tandatangan’.

Cheong

Sehubungan itu, beliau dan rakan-rakan aktivis seluruh negara sedang berusaha keras mendapat satu juta tandatangan sebagai tanda solidariti membantah kewujudan kilang Lynas di Kuantan Pahang.

Beliiau yang turut hadir sepanjang Majlis Rumah Terbuka PAS Terengganu semalam berjaya mengumpul hampir 500 tandatangan dari para pengunjung.

Katanya, tandatangani melalui kempen bertema ‘Kuburkan Lynas dengan sejuta tandatangan’ akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Parlimen Malaysia, kedutaan Jepun dan Australia serta institusi yang ada kaitan niaga dengan Lynas.

“Kami sasarkan pada majlis (rumah terbuka) ini sebanyak 500 tandatangan untuk dikumpulkan. Ini (kempen) untuk membuktikan kami serius dan tidak setuju dengan kehadiran Lynas di Kuantan dan amnya di Malaysia,”ujarnya ketika ditemui.

Menurutnya, jika tidak mendapat apa-apa ‘respon’ dari kerajaan Barisan Nasional (BN), Himpunan Hijau 2.0 secara besar-besaran pada bulan Oktober sebagai tanda bantahan.

Beliau menyifatkan kesudian orang ramai termasuk isteri Presiden PAS, Pesuruhjaya PAS Terengganu serta wakil-wakil rakyat PAS menurunkan tandatangannya cukup bermakna bagi rakyat.

Katanya, kempen tandatangan tersebut dilancarkan pada 1 Ogos lalu dengan sasaran 1 juta orang melalui 10,000 sukarelawan di seluruh Negara.

Pada November 2012 tahun lalu, Himpunan Hijau mengadakan perarakan besar-besaran di Dataran Merdeka selepas berjalan kaki sejauh 300 kilometer selama 13 hari bermula di Kuantan.

Kumpulan itu juga mendapat sokongan empat Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain iaitu Jawatankuasa Membantah Sianida Raub, (Ban Cyanide Committee), gabungan NGO Pengerang, dan NGO, anti-empangan Murum.

Tiada ulasan: