KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan mengesahkan kejayaan program Pusat Pemulihan Pemasyarakatan (PPP) apabila jumlah kemasukan berulang ke penjara hanya 0.45 peratus.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kejayaan itu turut menjimatkan kos di mana kerajaan tidak perlu lagi membina penjara baru.

"Setakat semalam, jumlah banduan yang telah keluar 2664 dan jumlah kemasukan berulang hanya 0.45%.

"Ini satu kejayaan dalam usaha kita nak memastikan kepelbagaian kemahiran kepada banduan-banduan ini.

"Kerajaan tidak lagi perlu membina penjara baru yang menelan belanja antara RM50 juta hingga RM60juta," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Melalui inisiatif PPP ini, banduan diberi latihan dan kemahiran untuk dapat hidup berdikari serta menyumbang kepada peningkatan sosio ekonomi.

Mengulas lanjut soal kejayaan itu, beliau menyifatkan kini negara berada dalam landasan terbaik.

"Saya rasa fakta angka ini membuktikan kita berada di landasan terbaik.

"Ini adalah keputusan kepada rehabilitasi yang dijalankan yang memberikan mereka kemahiran supaya mereka boleh masuk ke dalam masyarakat," katanya.