KUALA
LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang memberi enam
sebab sebagai bukti beliau tidak terbabit dengan rusuhan kaum dan
tuduhan fitnah sebagai pencetus tragedi 13 Mei 1969.
Katanya, enam sebab itu termasuk pertama beliau tidak
bertanding mana-mana kerusi di Kuala Lumpur atau Selangor pada Pilihan
Raya Umum 1969 lalu, sebaliknya bertanding bagi kerusi Parlimen Bandar
Melaka.
Kedua, beliau juga tidak berada di Kuala Lumpur selepas
Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969, sebaliknya ketika itu berkempen di
Kota Kinabalu membantu seorang calon bebas bagi kerusi Parlimen, kerana
Pilihan Raya Umum di Sabah diadakan selepas pilihan raya umum di
Semenanjung pada 10 Mei 1969.
“Ketiga, jika saya penyebab rusuhan kaum 13 Mei 1969, sudah
tentu saya tidak berani balik dari Sabah ke Kuala Lumpur, apatah lagi
jika benar saya yang melaungkan slogan anti-Melayu dalam perarakan jalan
raya di Kuala Lumpur dan kencing pada tiang bendera di depan kediaman
Menteri Besar Selangor.
“Keempat, jika benar saya yang menyebabkan rusuhan 13 Mei
1969 dengan melaungkan slogan anti-Melayu dalam perarakan jalan raya di
Kuala Lumpur dan kencing pada tiang bendera di depan kediaman Menteri
Besar Selangor, sudah tentu sejak dulu lagi saya dituduh dan didakwa di
mahkamah, kerana melakukan perbuatan jijik sedemikian dan tidak mungkin
dilepaskan begitu saja.
“Kelima, jika saya pencetus rusuhan berkenaan, tentu saya
tidak akan meminta, sejak 44 tahun lalu sehingga sekarang, supaya
Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kejadian 13 Mei
1969 bagi mengenalpasti sebab dan dalangnya.
“Keenam, saya juga tentu tidak akan menulis surat kepada
Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dari Pusat Tahanan Muar pada 5 Ogos
1969 untuk meluahkan “kegelisahan mengenai masa depan Malaysia” dan
mengemukakan tiga cadangan untuk mengukuhkan perpaduan nasional
berikutan rusuhan kaum 13 Mei 1969,” katanya dalam kenyataan media,
semalam.
Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata,
kebelakangan ini media UMNO dan media sosial, termasuk facebook,
twitter dan blog, dibanjiri dengan pembohongan dan hasutan berasaskan
perkauman.
Beliau berkata, dua hari lalu, akhbar rasmi UMNO, Utusan
Malaysia menyiarkan laporan yang memuatkan tuduhan bekas Timbalan
Menteri UMNO, Dr Mohd Fuad Zarkashi yang menyebut bahawa kritikan DAP
terhadap filem “Tanda Putera” “semata-mata ingin menyembunyi kebiadapan
Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang bertindak kencing di depan rumah
Menteri Besar Selangor ketika peristiwa 13 Mei 1969.
Kit Siang kesal kerana seorang bekas menteri UMNO sanggup
mengeluarkan kenyataan palsu, tidak bertanggungjawab dan penuh
pembohongan dan Utusan Malaysia pula sanggup menyiarnya.
Beliau menafikan berada di Kuala Lumpur sepanjang tempoh
terjadinya 13 Mei 1969, tambahan pula Pengarah filem Tanda Putera, Datin
Paduka Shuhaimi Baba menyatakan adegan kencing dalam filem itu adalah
rekaan beliau yang menggunakan “lesen kreatif” untuk mengkhayalkan babak
rusuhan kaum 13 Mei 1969.
“Ini bukan kejadian terpencil, kerana kebelakangan ini
banyak pembohongan dan dusta disebarkan menerusi media UMNO dan media
sosial, termasuk catatan dalam blog bekas Menteri Penerangan, Zainuddin
Maidin pada Selasa lalu (3 September 2013) yang menuduh saya terbabit
mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 dengan mendakwa, “Racun yang mereka
semai telah membunuh,” katanya.
Berikutan fitnah berkenaan, Lim Kit Siang mengarahkan
peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap Zainuddin, Fuad dan
Utusan Malaysia bagi membersihkan namanya daripada semua pembohongan dan
fitnah itu.
“Saya sudah berulang kali menyatakan saya tidak berada di
Kuala Lumpur ketika berlaku rusuhan kaum 13 Mei 1969, tetapi nampaknya
hakikat dan kebenaran tidak bermakna di mata pemimpin dan juru
propaganda UMNO yang bersungguh-sungguh menyebarkan pembohongan dengan
menuduh saya sebagai pencetus rusuhan kaum 13 Mei 1969 dan mereka cerita
mengenai peranan saya dalam perarakan jalanan pada 11, 12, dan 13 Mei
1969 di Kuala Lumpur serta kencing pada tiang bendera di kediaman
Menteri Besar Selangor,” katanya.
Menurut Kit Siang, beliau juga menyatakan dalam surat
kepada Tunku Abdul Rahman bahawa sejak awal lagi selepas kekacauan 13
Mei 1969, DAP telah menawarkan bantuan untuk memulihkan keamanan dan
keharmonian.
Katanya, beliau sendiri juga pada 17 Mei 1969, sempat
mengemukakan tawaran dan kesanggupan yang sama bagi pihak parti pada
satu sidang akhbar di Singapura, sebelum pulang dari Sabah ke ibu kota
dan sebelum ditangkap.
“Selain itu, saya juga mengemukakan tiga cadangan iaitu
agar Parlimen bersidang dengan segera untuk membolehkan semua Ahli
Parlimen menegaskan sokongan mereka terhadap konsep dan ideal toleransi,
persefahaman dan kemajmukan kaum dan memulihkan keyakinan rakyat
terhadap proses demokratik dan menafikan peluang Parti Komunis Malaya
untuk menangguk keuntungan politik daripada kekacauan itu.
“Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat
sebab terjadinya kekacauan 13 Mei serta menangkap dan menghukum
dalangnya dan meneliti semua masalah perkauman di Malaysia dengan tujuan
merumuskan penyelesaian jangka panjang.
“Kita perlu menimba pengajaran daripada tragedi 13 Mei 1969
agar Malaysia dapat menjadi negara yang lebih bersatu, berjaya, serta
makmur, bukannya menyelewengkan sejarah dan fakta mengenai peristiwa
tragis yang berlaku 44 tahun lalu itu untuk menangguk keuntungan politik
demi mendapatkan undi yang lebih tinggi dan meraih pengaruh lebih besar
pada pemilihan UMNO,” ujarnya.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan