Rabu, 4 September 2013

Banduan guna helah buang air kecil sebelum lesap


KL TODAY

IPOH – Hanya menggunakan tipu helah ingin membuang air kecil, seorang banduan berjaya melarikan diri daripada tahanan polis dalam kejadian yang berlaku di Hentian Rehat dan Rawat Gunung Semanggol, Lebuhraya Utara-Selatan (arah Selatan) petang semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, banduan terbabit, Panner Selvam a/l Heng Jeng Kee, 42, nekad menolak anggota polis yang mengiringinya sejurus selepas keluar daripada tandas sebelum bertindak melarikan diri menaiki motosikal jenis Yamaha berwarna merah bersama seorang lelaki.


Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, banduan tersebut dalam perjalanan untuk dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Siput atas kesalahan menipu dalam urusan jual beli kenderaan terpakai.

Menurutnya, banduan terbabit yang dibawa daripada Penjara Alor Setar itu memberitahu anggota polis yang mengiringinya untuk berhenti kerana tidak tahan untuk membuang air kecil.

“Kenderaan polis yang membawa anggota pengiring serta banduan terbabit berhenti di kawasan rehat tersebut yang terletak bersebelahan dengan sebuah restoran makanan segera terkemuka.


“Sewaktu banduan tersebut dibawa ke tandas, tangannya bergari di belakang, bagaimanapun, kedudukan gari diubah ke hadapan supaya memudahkannya untuk bergerak di tandas.

“Bagaimanapun, selepas keluar daripada tandas, banduan tersebut terus menolak anggota yang mengiringinya lalu melarikan diri bersama seorang lelaki dipercayai rakannya yang sudah menunggu dengan motosikal berhampiran tandas berkenaan.

“Mereka berdua telah melarikan diri menghala ke persimpangan Bukit Merah melawan arus pergerakan trafik,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

Tiada ulasan: