Oleh Masdar Wahid
PUTRAJAYA : Sebuah keluarga yang dinafi hak sebagai warganegara berjaya memperoleh tuntutan selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memanggil mereka mengisi borang pengesahan kewarganegaraan di Putrajaya, hari ini.
Itupun selepas Letchumy Suppiah yang berusia lebih 70 tahun bersama dua anaknya, Mala Kothandu dan Sarojini Kothandu membawa kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui peguam N Surendran, Eric Paulsen dan Latheefa Koya.
“Hari ini tiga sekeluarga itu dibenar mengisi borang pengesahan kewarganegaraan dan diminta datang sekali lagi pada 9 September untuk mengambil MyKad seperti dijamin Ketua Pengarah JPN.
“Mereka hampir berjaya dapat kewarganegaraan hanya selepas membawa kes ini ke mahkamah.
“Kita juga mendesak JPN segera menyelesaikan lebih 300,000 rakyat Malaysia yang majoriti berketurunan India dan dinafi warganegara,” kata Surendran kepada Suara Keadilan.
Pada 10 Disember 2012, tiga beranak itu memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk mendapat taraf kewarganegaraan selepas permohonan mereka ditolak JPN walaupun lahir dan dibesarkan di Malaysia.
Hakim Datuk Zaleha Yusof pada 17 Julai lalu, menangguhkan kes serta mengarahkan JPN menyelesaikannya sebelum 19 Ogos 2013.
Mereka menamakan Ketua Pengarah JPN, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.
Letchumy lahir di Tanjung Sepat, Selangor pada 23 Mei 1943 dan hanya memperoleh Kad Pemautautin Tetap selepas memohon daftar lewat IC di JPN Klang pada 2011.
Manakala suaminya, Kothandu Perumal yang lahir di Kuala Langat Selangor pada 1940 dan meninggal pada 16 Mac 1990 mempunyai Kad Pengenalan bernombor 400101–10–5841.
Sarojini pula lahir pada 5 Disember 1980 di Tanjung Sepat dan Mala di Hospital Banting pada 6 Jun 1978. Namun sijil lahir mereka dinyatakan ‘belum ditentukan’.
Usaha Letchumy memohon kewarganegaraan bersama anaknya pada 30 Julai 2012 ditolak Ketua Pengarah JPN pada 29 September tahun sama dengan alasan ‘tidak berhak memohon kewarganegaraan Malaysia di bawah mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan