Ahad, 1 September 2013

16 kumpulan gangsterisme dipantau

 
KDN akan terus mendedahkan senarai terkini kumpulan kongsi gelap yang aktif melakukan pelbagai aktiviti jenayah di seluruh negara.




KUCHING: Polis negeri ini sentiasa memantau maklumat 16 kumpulan gangsterisme di Sarawak yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, KDN akan terus mendedahkan senarai terkini kumpulan kongsi gelap yang aktif melakukan pelbagai aktiviti jenayah di seluruh negara.

Ini kerana, katanya polis masih lagi mengumpul bukti dan maklumat mengenai kegiatan kongsi gelap yang kemudian akan diserahkan kepada KDN untuk tindakan lanjut.

“Daripada 16 senarai nama kongsi gelap di Sarawak yang dikeluarkan semalam, terdapat nama-nama individu yang bukannya daripada nama pertubuhan kumpulan gangster, turut didedahkan oleh KDN.

“Namun demikian, saya yakin dan percaya polis negeri ini akan memantau dan mengawasi pergerakan kumpulan terbabit dari semasa ke semasa sebagai langkah menjamin keselamatan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas acara Perbarisan sempena majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Sarawak di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Jalan Badruddin di sini, semalam.

Kata Mohd Bakri, walaupun negeri Sarawak tidak mempunyai Akta Pencegahan Jenayah seperti di Semenanjung, namun, pihaknya akan tetap mengambil tindakan sama dengan menggunakan undang-undang sedia ada untuk memastikan individu atau kumpulan terbabit dapat diambil tindakan.

“Justeru, saya menggesa seluruh rakyat Malaysia termasuk media tempatan bekerjasama dengan pihak polis dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka menangani kes jenayah yang akan memberi kesan kepada perkembangan sektor pelancongan mahupun ekonomi di negeri masing-masing,” tegasnya.

Ditanya sama ada orang kenamaan turut tersenarai dalam kumpulan terbabit, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa senarai kongsi gelap yang didedahkan semalam juga melibatkan orang-orang ternama.

BN tidak terjejas 

Sementara itu, Ketua Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, tidak ada halangan dan sekatan terhadap sesiapa yang mahu menubuhkan parti baharu di negeri ini.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi sesiapa sahaja boleh menubuhkan parti yang berdaftar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Van Jenazah Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) di masjid Jamek di sini semalam.

Menurutnya, beliau melihat penubuhan parti baharu itu tidak menjejaskan parti yang sedia ada di negeri ini.
Lima parti baharu telah menghantar pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Parti berkenaan ialah Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru), People’s Alliance for Justice of Peace dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).

Penyerahan sebuah van jenazah dari LAKMNS kepada Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Melayu Miri yang akan diletakkan di masjid Ar- Rayyan diperlukan bagi mengimbangi pertambahan populasi di kawasan berkenaan, selain memudahkan lagi urusan membawa jenazah sekiranya berlaku kematian.

Pada majlis itu Taib yang juga Pengerusi LAKMNS menyerahkan van berkenaan kepada Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Melayu Miri Dato Haji Abdillah Haji Abdul Rahim.

Tiada ulasan: