Sabtu, 20 Julai 2013
SPR enggan dedah kandungan dakwat Kuala Besut
Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata dakwat kekal kali ini sudah mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Fatwa Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan.
"Kandungan nitrat perak itu tidak penting, yang penting bila celup dakwat, kekal. Jakim, Majlis Fatwa sudah beri kelulusan, begitu juga pengesahan Kementerian Kesihatan," katanya kepada pemberita semasa lawatan ke pusat pengundian awal di Pangkalan Tentera Udara Gong Kedak, Kuala Besut, hari ini.
Wan Ahmad turut memberi jaminan dakwat kekal berkenaan akan benar-benar kekal, malah beliau sendiri telah mencuba dakwat berkenaan dan masih kekal selepas enam hari.
"Sebab saya sudah uji, enam hari saya buat, (masih) tidak tanggal, kita yakin dakwat menepati tujuan kita pakai," katanya.
SPR juga memperuntukkan sejumlah 74 botol dakwat kekal bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dan jumlah dakwat kekal itu disediakan untuk 37 saluran, dengan setiap saluran menerima dua botol dakwat kekal.
Ditanya sama ada dakwat sama akan digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Wan Ahmad bagaimanapun berkata perkara itu belum diputuskan dan SPR jelasnya akan mengkaji semula perkara itu.
"SPR selepas post mortem di seluruh negara, kita dengar banyak maklum balas, SPR akan kaji semula, memikirkan apakah perkara terbaik yang akan kita syorkan kepada Parlimen, sebab kita sudah beri keyakinan daftar pemilih bersih.
"Kalau kita kata sekarang tidak tahu lagi, nanti gunakan dakwat kekal atau tidak," katanya kepada pemberita.
Insiden dakwat kekal yang mudah dibasuh dan hilang selepas dicuci mencemarkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei lalu.
Bagi PRK Kuala Besut kali ini, SPR bagaimanapun memberi jaminan dakwat yang digunakan akan "muncul semula walaupun dicuci."
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, sebelum ini berkata bagi membolehkan kesan dakwat kekal pada jari, pengundi dinasihatkan untuk memastikan jari mereka tidak berminyak.
"Setelah dicelup, dakwat kekal itu perlu dibiarkan lebih kurang 30 saat untuk kering. SPR mendapati jika dakwat kekal itu dicuci, warnanya akan muncul semula di jari," katanya.
Ketika PRU13 lalu, ramai pengundi yang mengadu dakwat kekal yang digunakan ketika mengundi mudah ditanggalkan apabila dibasuh, dan menimbulkan reaksi negatif pelbagai pihak termasuk pemimpin pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) menyelar SPR atas perkara itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan