Sabtu, 20 Julai 2013

Apa ditunggu lagi wahai SPR,samanlah…

Shahbudin Husin

 

Isu pembekal dakwat kekal terus masuk ke episod yang makin menarik. Selepas Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendedahkan nama syarikat pembekal dakwat itu yang didakwanya mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan tertinggi SPR dan memperolehi projek bernilai RM7.1 juta itu melalui rundingan terus, Pengerusi SPR Aziz Yusof melenting menafikan sama ada beliau atau timbalannya, Wah Ahmad Omar, mengenali atau mempunyai hubungan dengan pemilik syarikat itu.


Sambil menyifatkan pendedahan yang dibuat Rafizi di dalam Parlimen itu sebagai fitnah di bulan Ramadan dan kecewa mereka difitnah sedemikian rupa, beliau juga menafikan terlibat dalam urusan pembelian dakwat itu sambil mengatakan ianya diuruskan oleh urusetia SPR yang diketuai oleh Setiausaha badan itu, Kamaruddin Baria.


Kamaruddin Baria pula kemudiannya turut menafikan mengenali pemilik syarikat Intergrated Challenger (M) Sdn Bhd iaitu Mohamad Salleh Mohamad Ali, yang didakwa Rafizi sebagai pembekal dakwat itu sambil menuduh Rafizi sengaja membuat pendedahan mengenainya di dalam Parlimen kerana mempunyai kekebalan daripada tindakan undang-undang.


Dengan membuat dakwaan bahawa Rafizi sengaja berselindung di sebalik kekebalan undang-undang sebagai Ahli Parlimen, Kamaruddin seolah-olah memperkecilkan butiran pendedahan yang dibuat oleh Rafizi itu dan dalam masa yang sama takut diambil tindakan mahkamah jika pendedahan itu tidak benar.


Dalam erti kata lain atau secara halusnya, Kamaruddin seolah-olah mencabar Rafizi agar membuat dakwaan yang serupa di luar Parlimen agar beliau boleh mempertahankan dirinya daripada segala dakwaan itu dengan mengambil tindakan undang-undang.


Dalam masa beberapa hari, isu pembekalan dakwat kekal itu juga menjadi panas dalam perbahasan di Parlimen. Sambil ada Ahli Parlimen yang mahu membawa Rafizi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa membuat dakwaan tidak benar, Speaker Pandikar Amin Haji Mulia akhirnya membuat keputusan agar Rafizi mengulangi apa yang didedahkannya di dalam Parlimen itu di luar Parlimen pula supaya orang yang dituduhnya dapat mempertahankan diri dan menjawab segala dakwaan yang dibuatnya.


Semalam Rafizi telah menunjukkan keberaniannya dengan memenuhi permintaan Speaker itu dan membuat sidang akhbar di luar Parlimen bahawa Mohamad Salleh Mohamad Ali dan syarikat miliknya, Intergrated Challenger (M) Sdn Bhd adalah pembekal dakwat kekal kepada SPR untuk kegunaan dalam pilihanraya umum lalu dan memperolehi kontrak tersebut kerana mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan tertinggi badan itu.


Beliau juga membuat pendedahan bahawa sebuah lagi syarikat yang dikawal oleh Mohamad Salleh iaitu Nash Ventures Sdn Bhd, turut mendapat kontrak membekalkan topi kepada SPR. Kedua-dua syarikat itu juga didakwa Rafizi memperolehi kontrak-kontrak tersebut melalui rundingan terus dengan SPR.


Nah, sekarang Rafizi sudah memberi peluang kepada SPR yang sebelum ini menafikan segala dakwaan itu dan menuduh Rafizi berselindung di sebalik kekebalan sebagai Ahli Parlimen, untuk menjawab, menceritakan kebenaran dan mengambil tindakan mahkamah sekiranya dakwaan itu tidak benar.


SPR melalui Aziz Yusof, Wan Ahmad atau Kamaruddin tidak seharusnya berlengah lagi untuk mengambil tindakan undang-undang jika segala dakwaan Rafizi itu tidak benar. Tiada ruang lagi untuk mereka sekadar menafi tanpa bukti atau berdiam diri selepas ini.


Sekarang adalah waktunya untuk mereka mengembalikan keyakinan dan kewibawaan SPR sebagai badan bebas yang betul-betul mempunyai intergeriti di mata rakyat. Setelah SPR begitu banyak dipertikaikan dalam urusan pengendalian pilihanraya tetapi pemberian kontrak dakwat kekal yang akhirnya didapati tidak kekal dan hanya mempunyai campuran pewarna makanan, adalah episod malang dan memalukan bagi SPR. Keyakinan rakyat luntur sebagaimana lunturnya dakwat yang tidak kekal itu.


Bagaimana rakyat hendak percaya dan yakin dengan kewubawaan SPR sedangkan untuk memilih dakwat kekal yang cukup mudah itu pun tidak mampu dilakukan dengan sempurna.


SPR tiada pilihan lagi sekarang ini. Jika segala dakwaan Rafizi itu tidak benar, saman dan tuntutlah permohonan maaf, gantirugi atau apa saja daripada Rafizi. Berdiam diri atau sekadar menafikan dalam sidang akhbar bukan lagi jawapannya di peringkat ini.


Jika SPR terus berdiam diri selepas ini dan tidak juga mahu mengambil tindakan undang-undang, persepsi rakyat amat jelas bahawa mereka adalah dipihak yang salah dan Rafizi dipihak yang benar. Hanya tindakan undang-undang boleh membersihkan nama SPR.


Tetapi jika kebenaran tidak mampu dipertahankan lagi, langkah terakhir yang boleh dibuat hanyalah dengan mengundur diri atau menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai pengendali badan itu. Berdiam diri dan di ketika yang sama sama terus berada dalam SPR, merupakan tindakan paling memalukan dan tidak bermaruah.


Semua pilihan ditangan SPR sepenuhnya sekarang.

Penulis pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan Najib.Beliau memiliki laman blog di shahbudindotcom.blogspot.com

Tiada ulasan: