Isnin, 15 Julai 2013

Siapa Yang Dekati Pope Nasihatilah Wakil Beliau


 



Oleh A Kadir Jasin

MARI kita cakap bahasa mudah. Kalau nak marah, marahlah. Apa kita nak hairan kalau Duta Vatican, Joseph Marino “campur tangan” dalam hal yang sensitif kepada orang Islam Malaysia?

Menurut laporan media, dalam pertemuan sulungnya dengan media massa tempatan, Marino memuji hujah yang dikemukakan oleh Persekutuan Kristian Malaysia (Christian Federation of Malaysia) supaya dibenarkan mengguna "Allah" dalam teks bagi merujuk kepada Tuhan. Maksudnya dia setuju dan sokonglah tuntutan itu.

Archbishop Marino serah watikah kepada Yang di-Pertuan Agong
Tapi nak marah kepada dia pun tak boleh. Dia orang agama dulu. Kemudian baru diplomat. Jadi dia wajib utamakan agama dia daripada diplomasi (baca di sini)

Periksa dulu diri kita. Tanya, siapa yang hemoi sangat nak lawat Vatican, nak jumpa Pope, nak jalin hubungan diplomatik Vatican?

Bukan soal hubungan dengan Vatican saja yang jadi masalah malah semua hal berkaitan
Melayu/Bumiputera, agama Islam dan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan sedang dipertikaikan. Semuanya sedang dicabar dari dalam dan luar kerangka besar kepemimpinan Melayu-Islam.

Hanya Perkasa, Majlis Perundingan Melayu dan mereka yang seumpamanya saja terhegeh-hegeh cuba mempertahankan Melayu, Bumiputera dan Islam. Tapi, bukan semua Bumiputera Malaysia beragama Islam dan dalam isu “Allah” mereka tentulah sokong agama mereka.

Pokok pangkalnya, Pak Lah buka pintu kuala dan Mohd Najib runtuh pintu kuala atas nama keterbukaan (openess), 1Malaysia, keterangkuman (inclusiveness) dan macam-macam lagi slogan dan klise liberal.
Jadi, apalah yang peliknya kalau segala macam sampah sarap keluar masuk muara dan dibawa air pasang sampai ke hulu?

Inilah yang jadi kepada Melayu (dan secara terus kepada Islam) kalau kita bergantung sangat kepada kepemimpinan politik yang hanya hendak jadi popular, hendak dilihat liberal dan sederhana (moderate).

Siapa Beria-ia Jalin Hubungan Dengan Vatican?

Sebelum kita tuntut Archbishop Morino disingkir, tanyalah dulu kenapa Mohd Najib ke Vatican dan berjumpa Pope Benedict XVI pada 18 Julai 2011?

Mohd Najib sendiri kata, lawatannya ke Vatican adalah untuk “berbincang dan bekerjasama dengan mereka yang cintakan keamanan, kedamaian dan mereka yang menghormati kepada kepimpinan Islam.” (Baca di sini)

Perdana Menteri dengan Pope Benedict XVI di Vatican, 2011

Jadi, dengan campur tangan Morino itu, adakah Mohd Najib telah berjaya menjalin kerjasama dengan mereka yang cintakan keamanan, kedamaian dan mereka yang menghormati kepada kepimpinan Islam?

Kalau ada pemimpin Islam dalam kerajaan BN yang belum dijangkiti penyakit koro, mereka wajiblah memanggil Duta Vatican itu dengan segera. Setakat Jamil Khir Baharom buat kenyataan media saja tak cukup.

Tak payahlah pecat dia. Bagilah nasihat kepada dia. Boleh jadi dia tak faham keadaan di Malaysia. Bagi ingatan kepada dia yang perbuatan dia umpama mencurah minyak ke dalam api yang sudah pun membara.

Kalau begitu banyak pemimpin beragama Islam tak boleh ajar seorang Kristian, teruklah kita. Anifah Aman duduk buat apa?

Harap-harap ada lagilah pembesar Islam yang tidak menderita koro. Wallahualam.

Tiada ulasan: