KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat (PR) hari ini memfailkan saman terhadap tujuh anggota jawatankuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan penipuan dalam pelaksanaan penggunaan dakwat kekal ketika Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.
Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa berkata, saman tersebut akan turut memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan PRU13 sebagai tidah sah.
“Saman difailkan PR ini kepada tujuh anggota SPR termasuk pengerusi dan timbalan pengerusi adalah secara individu kerana mereka kegagalan melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan adil dalam pilihan raya.
“Adalah jelas dakwat kekal digunakan tidak kekal tidak sepertimana diumumkan akan bertahan sehingga tujuh hari,” dakwanya ketika sidang media di parlimen hari ini.
Beliau berkata, sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada mereka maka mahkamah perlu mengarahkan pembentukan anggota jawatankuasa SPR yang baru.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendakwa, tindakan SPR keseluruhannya dilihat berat sebelah dan memihak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Mereka sedaya upaya mungkin mempertahankan kenyataan Perdana Menteri termasuk dalam urusan mengenai rasuah membeli undi serta menyerang Ketua Pembangkang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan