Ayam

SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu mencari mekanisme berkesan dalam menangani masalah kenaikan harga ayam yang saban tahun berlaku sehingga membebankan pengguna terutamanya menjelang musim perayaan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kementerian perlu bertindak tegas dan serius bagi mengenal pasti punca sebenar kenaikan harga ayam, adakah disebabkan dominasi harga keterlaluan oleh pihak tertentu atau faktor lain.

Menurutnya, jika itu berlaku, kementerian dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menjalankan satu siasatan untuk memantau jika terdapat suatu pakatan monopoli di kalangan penternak dan pengeluar yang menentukan harga ayam meningkat.

“Dengan ini, tindakan boleh diambil terhadap pihak yang memonopoli dan menstabilkan kembali harga ayam, memastikan harga ayam bebas daripada ditentukan golongan tertentu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Nadzim berkata, setelah melalui pelbagai perayaan setiap tahun, kementerian seharusnya arif dengan apa yang berlaku dan sudah ada jalan penyelesaian sama ada penyelesaian jangka panjang atau pendek untuk mengatasinya.

Pada masa sama katanya, rakyat ingin tahu dengan jelas mengapa harga ayam naik.

“Dari mana punca kenaikan itu bermula. Jika pembekal apa rasionalnya? Maka perkembangan ini sudah pasti perlu diambil serius dan ditangani secara bijak kementerian dan agensi terlibat.

“Ini kerana isu kenaikan harga barangan isu paling sensitif dan boleh menyebabkan kemarahan rakyat.

“Ini kerana isu kenaikan harga barangan isu paling sensitif dan boleh menyebabkan kemarahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, yang menjadi tanda tanya setiap kali tiba musim perayaan, paling ketara apabila umat Islam mahu menyambut Aidilfitri, kenaikan harga barangan termasuk ayam berlaku.

“Adakah benar-benar ini faktor permintaan terlalu tinggi menyebabkan bekalan berkurangan dan kesukaran untuk mendapatkannya. Atau mereka ini hanya sekadar mahu main tarik tali untuk mengaut keuntungan lebih,” katanya.

Beliau berkata, isu kenaikan harga ayam bukan diatasi dengan sekadar menerima saranan beberapa pihak supaya orang ramai memboikot barangan yang naik itu.

“Bila harga ayam naik, boikot jangan beli ayam, bila harga gula naik, jangan makan gula. Tetapi perlu ada mekanisme atau jalan penyelesaian oleh pihak terbabit agar masalah ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang,” katanya.