Khamis, 9 Ogos 2012

Umno Kelantan akui hebat…tetapi mahu lawan juga

Oleh GreenCresent

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed menyebutkan persaingan hebat di Kelantan (Sinar Harian 30 Julai 2012). Maksudnya pihak Umno di Kelantan sedang berdepan dengan PAS yang dianggap hebat. Hebat itu munurut Mustapa ialah kerana PAS di Kelantan sudah berkuasa sebagai kerajaan selama 22 tahun

Apa pun, kalau tempoh 22 tahun PAS berkuasa sudah dianggap hebat, maknanya Umno yang berkuasa sejak merdeka sudah 55 tahun adalah lebih hebat. Tetapi hebat itu mungkin di peringkat Pusat, tidak di Kelantan. Di sisi rakyat Kelantan, mungkin Mustapa menganggap Umno tidak hebat kerana tempoh Umno berkuasa di Kelantan hanya 12 tahun (1978-1990) berbanding PAS berkuasa dalam tempoh dua kali (1959-1978 dan 1990-kini).

Kajian MPN

Namun diyakini kenyataan Mustapa kepada media selepas mesyuarat Perhubungan Umno Kelantan itu ada asas logiknya. Asasnya yang sebenar bukanlah kerana PAS telah 22 tahun berkuasa di Kelantan. Dipercayai asas sebenar itu, antaranya ialah pendedahan kajian Majlis Profesor Negara (MPN) baru-baru ini. Meskipun pihak MPN menguar-uar kepada media sebahagian hasil kajiannya itu, tetapi ia tidak menyatakan secara jelas mengenai sejauh mana potensi Umno untuk merampas Kelantan. Bagaimanapun adalah diyakini Mustapa ada akses khusus mengenainya kerana beliau seorang menteri dan pengerusi parti kebangsaan yang berkuasa.

Walaupun begitu, kajian MPN turut didedahkan kepada media pada 27 Julai lalu turut melaporkan kenyataan timbalan pengerusi MPN, Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin mengenai ramalan pihak yang akan menang. Baginya, keputusan PRU-13 tidak akan tergantung tetapi satu pihak pasti sekurang-kurangnya menang dengan majoriti mudah.

Justeru ramalan itu jika berpihak kepada BN bermakna ia mengulangi prestasi 2008. Maka pada 2008 Umno gagal merampas Kelantan. Ini fakta yang sudah tentu tidak mengembirakan Mustapa bila merenung kepada kemungkinan peluang merampas Kelantan. Melainkan MPN mendapati BN boleh menang besar seumpama 2004, maka Umno boleh jadi ada potensi untuk merampas Kelantan.

Walaupun begitu, tatkala mengimbau pilihan raya 2004, Presiden Umno adalah Pak Lah bukan Najib. Pak Lah pada 2004 dianggap ‘bersih’ tanpa skandal dan kroni serta korupsi. Lalu ia diyakini dan Umno menang besar. Sebaliknya Najib dan Umno pada 2012 ini dilihat sudah masyhur dengan pelbagai isu negatif seperti anugerah projek lembu NFC (RM250 juta) untuk suami, anugerah tender peralatan IKBN (RM30.8 juta) kepada anak menteri, anugerah kontrak minyak kapalterbang (berbilion ringgit) kepada anak mantan perdana menteri dan memperuntukkan dana nepotisme khas bagi projek Permata ( tahun 2011 RM110 juta) yang diguna untuk Rosmah isteri sendiri serta Najib sendiri membolot jawatan menteri pembangunan wanita yang dilihat janggal dalam sejarah kabinet Malaysia.

Sehubungan itu, ada benarnya kenyataan ahli MPN, Dr. Mansor Mohd Noor memaklumkan antara bulan April dan Mei lalu, persepsi positif terhadap Perdana Menteri makin menurun apabila kebaikan beliau sebelum ini semakin dilupakan.

“Buat satu kebaikan naik satu anak tangga, jika berlaku keburukan turun 10 anak tangga. Bukan mudah menilai suasana pilihan raya. Lihat sahaja di Kelantan, ada masanya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberikan kepada BN atau PAS, ada masanya dipecahkan satu BN satu PAS. “

Di sebalik hujah Dr. Mansor itu, realitinya berlaku setiap kali pilihan raya apabila pendekatan kempen terdesak calon Umno (calon Dun atau Parlimen) yang tidak sehaluan akan merayu sokongan peribadi agar pengundi yang tidak berparti mengundi dirinya bagi Dun dan mengundi pihak lawan bagi Parlimen atau sebaliknya. Trend kempen terdesak ini terbukti dalam pilihan raya lalu, antaranya berlaku terhadap calon-calon Umno di Tumpat bagi Dun Pengkalan Kubor dan juga di Ketereh bagi Dun Kok Lanas. Didapati calon Umno di Parlimen Tumpat lebih rendah (1,130) berbanding calon Umno di Dun Pengkalan Kubor. Sementara calon Umno di Parlimen Ketereh lebih tinggi (244 undi) berbanding calon Umno di Dun Kok Lanas.

Kajian MC

Boleh jadi juga Mustapa telah mendapat gambaran yang jelas kajian Merdeka Centre (MC) berhubung dengan kemerosotan populariti Najib selaku perdana menteri di kalangan orang Melayu sejak sebulan lepas. Ia sudah tentu akan menjejaskan juga populariti Umno yang diterajui Najib.
Meskipun populariti Najib tidak menggambarkan populariti sebenar Umno atau BN, tetapi populariti diraih Najib sekitar 65 peratus bermakna populariti Umno dijangka lebih teruk. Ini menggerunkan Mustapa yang mewakili Umno di Kelantan. Mungkin atas asas ini, Mustapa memandang Umno di Kelantan sedang berdepan dengan saingan hebat. Maka yang menghebatkan saingan itu bukan lagi PAS, tetapi persepsi politik rakyat Kelantan yang unik. Ia adalah berpunca daripada pendekatan kebendaan bermotif politik yang bersifat memberi berniat membeli undi. Natijahnya rakyat Kelantan mudah menerima pemberian, kerana apa yang diberi adalah hak mereka.

Justeru itu, rakyat akan menilai akhlak si-pemberi. Jika si-pemberi adalah tokoh politik semestinya akan dinilai siapa tokoh itu, apakah ada kemuliaan akhlaknya atau diragui integritinya. Atas nilaian ini, mungkin Mustapa berdilema untuk mengesahkan siapa tokoh itu kerana ramai yang sedang bersaingan (berebut) untuk dicalonkan menjelang PRU-13. Mungkin kini tokoh Umno sedang bersaingan sesama sendiri dan pada masa sama, mereka juga terpaksa bersaing dengan ketokohan pemimpin PAS.

Mahu menang besar

Walau bagaimanapun, Mustapa masih berkeyakinan dengan matlamat untuk Umno mencapai kemenangan besar dalam PRU-13. Justeru menurut Mustapa, Umno Kelantan akan berusaha gigih untuk memastikan kemenangan besar dalam pilihan raya nanti.

Di atas kemahuan ini, iaitu untuk mencapai kemenangan besar sudah tentu matlamatnya adalah untuk merampas Kelantan dari PAS. Kononnya apabila berjaya merampas kuasa, dikatakan Umno sekali gus dapat membangunkan negeri ini dengan lebih baik.

Nampak jelas matlamat Mustapa ialah kemenangan untuk berkuasa, kononnya di Kelantan tiada pembangunan yang lebih baik. Justeru dengan nada ego Mustapa mengungkapkan, “hanya Umno mampu melaksanakan perubahan termasuk menyelesaikan masalah kemiskinan dan pekerjaan di negeri ini.”

Ia bermaksud, selama 22 tahun PAS mentadbir negeri ini, tiadanya pembangunan menyebabkan rakyat dilanda kemiskinan tanpa pekerjaan.

Sedangkan, Mustapa telah menganggapkan Umno sedang berdepan dengan saingan hebat. Ia semacam hebat itu disandarkan pada kesan 22 tahun PAS yang mentadbir Kelantan –– ada kesan pembangunan yang hebat, semacam tiada tolok bandinganya.

Jika demikian, nampak sangat Umno di Kelantan sebagaimana difikirkan oleh Mustapa perlu meletakkan faktor dan kempen pembangunan sebagai agenda, meskipun apa yang diagendakan amat susah diterima rakyat Kelantan. Logiknya, tidak semudah untuk rakyat berubah menyokong Umno dalam pilihan raya nanti.

Pandangan Tok Guru

Apa yang difahami, Mustapa masih bertekad (berusaha gigih) untuk merampas kuasa yang rakyat Kelantan mandatkan kepada PAS sehingga hari ini. Justeru Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) telah mempersoalkan tekad Mustapa itu dari sudut Islam.
Bagi Tok Guru, "kenapa nak lawan sangat, kalau sudah tahu ada saingan hebat?”

Selanjutnya Tok Guru menerangkan dari segi kaedah Islam, syarat berlawan atau hajat merampas kuasa itu hendaklah atas dasar Islam dan Iman. Ini kerana tubuh badan kita sendiri dianggap sempurna bila erat (bergadit) ikatan Islam dengan iman. Sedangkan Umno selama ini, kita tahu berjuang atas dasar kebangsaan dan sekular serta tumpu kepada pembangunan. Bukan atas dasar Islam.

“Soal pembangunan, mana-mana kerajaan pun boleh laksana. Tambahan pula semua orang tahu, pembangunan yang dijaja itu bukannya dibuat dengan duit Umno, sebaliknya duit rakyat. Maka mana hebatnya Umno?”

Justeru bagi Tok Guru, kalau soal pembangunan, ia sama sahaja dengan negara komunis atau puak barat. Persoalannya, adakah segala-gala boleh selesai dengan hanya tumpu kepada pembangunan?
Jika bermodalkan pembangunan, apakah kita boleh jawab di depan Tuhan nanti? Sedangkan kita diajar oleh Islam supaya yakin akan ada balasan syurga atau neraka. Sebagai orang yang beriman hajat kita ialah syurga. Jadi, apa jaminan dengan kerana pembangunan kita akan dapat balasan syurga?

Sesungguhnya PAS di Kelantan sedang berusaha memartabat Islam dalam segenap segi pembangunan. Atas keyakinan dan kehendak rakyat yang suka kepada kehidupan secara beragama, maka pembangunan yang dilaksanakan adalah istiqamah atas prinsip Islam dan iman kehadrat Allah SWT. Maka, tiada lebihnya tawaran pembangunan yang dibuat oleh Umno itu. Justeru banyak telah usaha pembangunan yang dicetus selama 22 tahun pentadbiran PAS di Kelantan. Natijahnya, semuanya telah membawa keutuhan kepada amalan Islam dalam urustadbir kerajaan untuk rakyatnya.

Apa pun, segala-galanya di bawah ketentuan Allah SWT, firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu” (Ali-Imran ayat 26).

Sehubungan itu, hak rakyat Kelantan untuk menilai, apakah Umno di Kelantan di bawah Mustapa mampu melaksanakan urus tadbir yang menuju kebaikan menurut lunas Islam? Justeru lihatlah nasib rakyat sepanjang kuasa Umno mentadbir negeri dan negara, di manakah hebatnya jika rakyat terus menanggung segala beban akibat amalan kronisme, nepotisme dan korupsi di mana-mana sahaja? Umumnya mengharapkan rakyat Kelantan bijak menduga apa akan jadi jika Umno kembali berkuasa sebagai kerajaan negeri http://greencresent-wanibrah.blogspot.com

Tiada ulasan: