Khamis, 9 Ogos 2012

`Janji ditepati' bukti Umno-BN kritikal



Oleh SAIDAH HAIRAN

 
Buat pertama kali rakyat akan menyaksikan perayaan ulang tahun kemerdekaan negara menjadi hak milik Umno-BN. Ini dapat dilihat daripada lirik lagu `Janji ditepati' yang mengingatkan rakyat tentang pemberian kerajaan BN dengan BR1M, TR1M dan kedai 1Malaysia.

Sudah pasti lirik lagu `Janji ditepati' mempunyai maksud yang cukup mendalam untuk pimpinan Umno-BN. Sambuatan ulang tahun kemerdekaan adalah untuk mengingatkan betapa peritnya pejuang-pejuang dahulu menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Malangnya lirik lagu `Janji ditepati' langsung tidak ada kaitan dengan mengingati kemerdekaan atau membangkitkan semangat perjuangan.

Apa tujuan lirik lagu `janji ditepati' didendangkan setiap masa di tv dan radio. Jika dilihat lirik `Orang sana pandai cakap, Tapi tak boleh buat ; Orang sana pandai janji .....pada yang tak peduli; Orang sana pandai auta; Tapi budi tak ada...

Lagu ini dibuat oleh Kementerian Penerangan dan sudah pasti lirik lagu ini menyindir pihak pembangkang. Ternyata lirik lagu `Janji ditepati' berunsur ugutan BN terhadap rakyat.

Jika kerajaan Umno-BN selama ini benar-benar ikhlas memberi BR1M, TR1M dan kedai 1Malaysia, kenapa perlu ditulis dalam lirik lagu tema kemerdekaan? Lagu yang sering didendangkan di tv dan corong radio.

Lirik lagu ini amat jelas berbentuk kempen politik Umno-BN. Sepatutnya lagu menyambut ulang tahun kemerdekaan menimbulkan semangat. Bukan menghasut rakyat untuk membenci parti lain selain BN. Apakah kerajaan BN sudah `bangkrap' idea untuk mencari tema yang lebih baik.

Jika lagu `Janji ditepati' sering dimainkan di tv dan radio, apa yang rakyat dapat? Rakyat tidak akan dapat mengingati perit jerih untuk membebaskan Malaya daripada penjajah.

Mereka ditanamkan supaya mengenang jasa dan menyokong Umno-BN kerana sudah memberi BR1M, TR1M dan Kedai 1Malaysia. Tanpa disedari pemberian BR1M, TR1M dan Kedai 1Malaysia merupakan rasuah BN kepada rakyat yang diambil daripada wang rakyat.

Jika Umno-BN berkempen dengan menggunakan lirik tema kemerdekaan, rakyat tidak salah untuk menunaikan `janji ditepati'.

Rakyat mesti berjanji akan memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa dan menjatuhkan kerajaan Umno-BN dalam pilihan raya umum nanti. Rakyat sudah jelak dengan perangai pimpinan-pimpinan Umno yang hipokrit dan hanya berjumpa rakyat ketika menjelang pilihan raya.

Sehubungan itu, Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof menegaskan, lirik lagu `Janji ditepati' menunjukkan bagaimana kepimpinan Umno-BN telah mempolitikkan sambutan kemerdekaan untuk kepentingan mereka.

"Pimpinan Umno-BN berhempas pulas mahu memastikan survival kepimpinan mereka tetap menguasai negara selepas PRU ke13," tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, daripada lirik lagu tersebut menjelaskan BN berkempen supaya rakyat terus menyokong kepimpinan mereka.

Katanya, lirik janji dikota dan sebagainya bukan melambangkan semangat hendak melahirkan kesedaran rakyat supaya menjaga keamanan di masa depan.

Sebaliknya tambah beliau ia lebih menjurus menjaga kepentingan Umno-BN yang ternyata sudah terdesak dan takut untuk menghadapi PRU ke13.

"Mereka sanggup melakukan apa sahaja cara dan pendekatan janji mereka dapat terus berkuasa," tegasnya.

Lirik lagu dan tema kemerdekaan tegas beliau membuktikan bahawa BN sudah di tahap kritikal dan terpaksa mengambil kesempatan untuk berkempen dalam sambutan ulang tahun kemerdekaan.

Tiada ulasan: