SHAH ALAM : Walaupun hanya melibatkan diri sebagai jawatankuasa pemantau, Kerajaan Negeri Selangor sudah berjaya menyelesaikan masalah gangguan air di beberapa tempat yang selama ini tidak dapat ditangani Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dengan penyertaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi di dalam operasi Syabas, masalah air terawat di Balakong, Serdang dapat diselesaikan.
Ini juga diusahakan di beberapa lokasi di kawasan Cheras, di mana pegawai Kerajaan Negeri menolong Syabas meningkatkan tekanan air di beberapa kawasan perumahan.
Kedua-dua kejayaan ini mencerminkan keupayaan Kerajaan Negeri dalam mengurus industri air di Selangor walaupun hanya diberikan sedikit kuasa menerusi jawatankuasa memantau.
“Datuk Khusrin mempunyai masa terhad kerana terpaksa memantau (pengerusi eksekutif Syabas) Tan Sri Rozali Ismail untuk selesaikan masalah air.
“Balakong yang dulu tiada air, kini sudah selesai. Tiada masalah lagi,” Abdul Khalid berkata di sidang media selepas mesyuarat exco di sini.
Sebelum ini, Kerajaan Selangor memasukkan jawatankuasa yang diketuai Khusrin ke dalam Syabas bagi memantau operasi syarikat yang mengurus bekalan dan agihan air terawat itu di Selangor.
Jawatankuasa ini dimasukkan ke dalam Syabas kerana Kerajaan Negeri tidak berpuashati dengan cara ia mengendalikan industri tersebut.
Misalnya, Syabas pernah meminta untuk bekalan air terawat di Selangor dicatu kerana mendakwa tidak cukup untuk menampung permintaan pengguna di Lembah Klang.
Akan tetapi, kajian yang dilakukan oleh Unit Perancang Ekonomi Selangor menunjukkan bahawa kapasiti untuk loji-loji membekalkan air terawat adalah 4,809 juta liter sehari (MLD).
Manakala permintaan pengguna di Lembah Klang adalah 2,944 (MLD).
Di satu taklimat berkenaan isu air baru-baru ini Timbalan Pengarah UPEN, Nor Azmi Diron berkata jawatankuasa tersebut membuat beberapa perubahan pada sistem agihan Syabas supaya lebih banyak air dapat disalurkan kepada Balakong, Seri Kembangan dan Cheras.
“Bila kita semak pelan agihan, ada ruang untuk kita bawa lebih banyak air dari Sungai Labu dengan disokong oleh Sungai Semenyih bagi kawasan Cheras.
“Sebab itu 2-3 hari ini masalah di Cheras dapat kita selesaikan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan