Khamis, 9 Ogos 2012

Tema Merdeka: Selangor setuju, Pulau Pinang akur

Salmiyah Harun,
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor bersetuju untuk turut menggunakan tema perayaan Hari Merdeka Pakatan Rakyat 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' sebagaimana diputuskan oleh Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berpandangan walaupun tema ini ringkas tetapi ianya mempunyai makna yang mendalam dan mampu menyeru seluruh rakyat  Selangor - tanpa mengira bangsa, agama dan pendirian politik - untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan.

"Apa yang penting, Kerajaan Negeri Selangor berharap rakyatnya mempunyai jiwa yang merdeka serta bertanggungjawab untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.

"Kami berharap tema ini akan memeriahkan lagi perayaan kemerdekaan peringkat Negeri Selangor yang akan diadakan pada ambang Merdeka pada malam 30 Ogos 2012 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam," demikian menurut Khalid dalam kenyataan yang dimuatkan dalam laman facebooknya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga akur dengan keputusan kepimpinan pusat Pakatan Rakyat untuk menggunakan satu tema pada hari Kemerdekaan yang ke-55 nanti.

Menurut Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mansor Othman, pendirian ini membuktikan kata sepakat dalam Pakatan Rakyat dan bukannya ketidaksefahaman sepertimana tohmahan pihak-pihak tertentu.

Katanya, Pulau Pinang, seperti juga negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain sentiasa mendokong semangat kesetiakawan dan menghormati persetujuan bersama kepimpinan Pakatan Rakyat.

"Keputusan awal untuk menggunakan tema merdeka yang berlainan adalah kerana Pulau Pinang telah pun memilih tema terlebih awal, sepertimana juga negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain," katanya dalam kenyataan yang dimuatkan dalam laman facebooknya.

Justeru itu, katanya,  pendirian ini membuktikan sekali lagi sikap keterbukaan Pakatan Rakyat walaupun berbeza pendapat tetapi setelah kata sepakat dicapai, mereka kembali bersatu memperkasakan Pakatan Rakyat demi kepentingan rakyat.

Sebelum ini, tiga negeri Pakatan Rakyat  memutuskan untuk menggunakan tema sendiri, iaitu Kelantan dengan temanya 'Menerajui Perubahan', Kedah pula 'Terus Berbakti' dan Pulau Pinang ‘Budaya Bersih, Merdekakan Rakyat’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Menurut Pengerusi Panel Tema Merdeka Pakatan Rakyat, Datuk A Samad Said yang juga pengerusi bersama Bersih, ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ merupakan tema yang paling sesuai dan merupakan denyut nadi rakyat.

Pakatan Rakyat memilih temanya sendiri bagi menggantikan tema rasmi Kerajaan Persekutuan  ‘Janji Ditepati’.

Tiada ulasan: