PETALING JAYA: Sikap dolak dalih Kerajaan Pusat makin terselah apabila menubuhan jawatankuasa khas berhubung pembayaran royalti petroleum kepada negeri-negeri pantai timur dengan mengkaji kaedah pembayarannya.
Pengerusi Jawatan Kuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa berkata tiada apa yang perlu dikaji dalam kaedah pembayaran kerana ia jelas dinyatakan di dalam perjanjian Petroleum 1974.
“Menerusi Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian yang telah ditandatangani oleh Petronas dan Kerajaan Negeri Kelantan (Mei 1975) iaitu kaedah pembayarannya dilakukan secara tunai kepada negeri-negeri berkenaan tanpa apa-apa saluran yang lain,” ujarnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata isu pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Kelantan yang membuat tuntutan RM1 bilion, masih di peringkat kajian.
Katanya, kajian itu masih dijalankan oleh Kerajaan Pusat kerana berlaku pertindihan kawasan di daerah operasi pelantar minyak itu.
Kerajaan Kelantan membuat tuntutan itu tahun ini setelah mengetahuinya melalui laporan dari Jabatan Perangkaan bahawa petroleum itu beroperasi sejak 2004 dan tuntutan royalti RM1 bilion itu dikira bermula dari 2004 sehingga kini.
Secara rumusannya, Husam berpendapat Penubuhan Jawatankuasa Khas yang dicadangkan kerajaan pemerintah itu sebagai suatu usaha yang penuh dengan dolak dalih.
Sehubungan itu, mesyuarat Majlis Pakatan di Ibu Pejabat PKR hari ini memutuskan akan membayar royalti minyak kepada negeri-negeri yang terlibat sekiranya berjaya mengambil alih tampok pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke- 13 akan datang.
Pakatan Rakyat juga akan membayar royalti minyak tersebut dalam kadar segera dan tidak berbelit-belit dengan hanya merujuk kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974.
“Negeri-negeri yang memiliki minyak (petroleum) dibayar dua kali setahun terus kepada akaun negeri.
“Kerajaan Negeri bebas menggunakan wang royalti tersebut untuk kegunaan apa sahaja yang dirasakan perlu dan penting,”jelasnya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Husam turut menzahirkan rasa berterima kasih di atas keperihatinan Majlis Pakatan Rakyat berhubung hasrat Kelantan untuk mendaratkan hasil gas diperairan Kelantan.
“Pakatan juga berjanji sekirannya berjaya mentadbir Putrajaya, Petronas akan diminta untuk mengazetkan pendaratan gas itu berlaku di bumi Kelantan.
“Ini bukan sahaja mengembalikan hak rakyat Kelantan malah meningkatkan ekonomi dan pendapatan rakyatnya,”katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan