Khamis, 9 Ogos 2012

Mahasiswa terancam, BN lulus bangunan Unisel tanpa CF – MB

Oleh Norutul Ilham


SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mendedahkan, kerajaan negeri semasa ditadbir Barisan Nasional telah meluluskan keseluruhan bangunan Universiti Selangor (Unisel) tanpa memperolehi Sijil Layak Menduduki (CF).

Katanya, tindakan itu bakal mengancam keselamatan pelajar dan kakitangan.

“Keseluruhan bangunan dan asrama Unisel memang tidak ada CF. Ini perkara yang memalukan sebelum 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Shah Alam semalam selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco.

Mengulas lanjut isu hutang Unisel RM15 juta dengan Jana Niaga Sdn Bhd, Khalid berkata, perkara itu termasuk dalam kandungan perjanjian yang dibuat kerajaan BN.

“Unisel buat perjanjian dengan Jana Niaga selama 30 tahun yang ditandatangani antara 2003 dan 2004,” katanya.

Khalid berkata, Unisel juga perlu membayar sewa penginapan 100 peratus kepada Jana Niaga walaupun asrama tersebut tidak diduduki pelajar terutamanya pada cuti semester.

“Isu Unisel tidak bayar hutang kepada Jana kerana syarikat itu bina asrama tidak ada CF.

“Kita hanya bayar Jana sewa menduduki asrama tersebut. Dalam perjanjian sebelum ini, sama ada duduk di asrama atau tidak, 100 peratus sewa penginapan kena bayar.

“Kalau kita (kerajaan negeri) bayar (hutang) itu sekarang, nanti mereka tak nak membetulkan semula bangunan itu bagi mendapatkan CF. Jadi kita tunggu dia buat dulu, baru kita bayar,” katanya.

Khalid berkata, bagi menyelesaikan isu tersebut, kerajaan negeri melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi sebagai orang tengah.

“Untuk itu, kita pastikan Datuk SUK jadi orang timbang tara bagi isu asrama Unisel dengan Jana Niaga,” katanya.

Tiada ulasan: