Oleh Mohd Martin Kahar
PETALING JAYA 7 Ogos: Semua negeri Pakatan Rakyat (Pakatan) sepakat
akan menggunakan logo sesuai untuk diguna dalam sambutan Hari Kebangsaan
tahun ini bagi menggantikan logo oleh Kerajaan Pusat.
Setiausaha
Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, pengumuman pemilihan logo itu
akan dibuat oleh Majlis Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat,
Khamis ini.
“Logo tersebut akan digunakan oleh empat negeri Pakatan Rakyat,”
katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di sini hari ini.
Hadir sama, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar; Ketua Pemuda
Sosialis DAP (Dapsy), Anthony Loke dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS
Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.
Kata Mustafa, untuk lagu tema Hari Kebangsaan pula, Pakatan sedang meneliti cadangan daripada seorang komposer terkenal.
Beliau enggan mendedahkan siapa komposer tersebut sehingga proses menyiapkan lagu selesai.
Katanya, pemilihan lagu berkenaan juga turut akan diumumkan nanti.
Berkenaan tema Hari Kebangsaan, Mustafa berkata, negeri Pakatan bebas menggunakan tema masing-masing.
Katanya, Selangor dan Pulau Pinang memilih menggunakan tema ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’.
“Manakala Kelantan akan menggunakan tema ‘Menerajui Perubahan’, sementara Kedah pula memilih tema ‘Terus Berbakti’,” katanya.
Menurut Mustafa, Kelantan dan Kedah menggunakan tema berbeza kerana
negeri tersebut telah memutuskan terlebih dahulu tema negeri
masing-masing bagi menolak tema ‘Janji Ditetapi’, sebelum ia diputuskan
oleh pimpinan tertinggi.
Bagaimanapun katanya, tema ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ akan dijadikan tema rasmi Pakatan Rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Kelantan bersetuju untuk
menggunakan tema Hari Kemerdekaan yang dicadang Pakatan Rakyat iaitu
“Sebangsa, Senegara, Sejiwa” berbanding tema “Kelantan Menerajui
Perubahan” yang diputuskan kerajaan negeri sebelum ini.
Perkara itu dimaklumkan Sekretariat Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan lewat petang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan