Oleh Aliff Fikri
KUALA LUMPUR : Aktivis mahasiswa Universiti Malaya (UM), Mohd
Bukhairy Mohammed Soffian dibebas dan dilepaskan dari dakwaan menghalang
anggota polis semasa menjalankan tugas pada Januari lalu.
Peguam Lawyers For Liberty (LFL), Latheefa Koya ketika dihubungi
berkata, pertuduhan ke atas anak guamnya itu gagal dibuktikan, oleh itu
mahkamah tidak dapat mensabitkan beliau dalam kes ini.
“Majistret Parvin Hameedah Natchiar pagi ini telah membebaskan dan
melepaskan Bukhairy tanpa pembelaan dari pertuduhan Seksyen 186 –
menghalang penjawat awam menjalankan tugas kerana pendakwaan telah gagal
untuk membuktikan kes prima facie,” kata Latheefa yang juga Pengarah
Guaman KEADILAN.
Seorang lagi peguam LFL yang mewakili Bukhairy adalah Afiq Mohd Noor.
Bukhairy ditangkap di Masjid Ar Rahman berdekatan UM pada 6 Januari
lalu kira-kira jam 11.15 pagi beberapa hari sebelum keputusan kes Fitnah
II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau ditahan reman empat hari dan diikat jamin RM2,000 walaupun menyatakan beliau akan menduduki peperiksaan ketika itu.
Bukhairy mula diganggu polis sejak kejadian di Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC) pada 17 Disember tahun lalu apabila 450 mahasiswa dan anak
muda termasuk beliau mengemukakan memorandum kebebasan akademik
berhubung gesaan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Univerisiti (Auku)
kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan