Jumaat, 10 Ogos 2012

Jais kesan sindiket guna pelajar sekolah kutip derma hingga pukul 3 pagi

SINAR  HARIAN

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan terdapat sindiket yang berselindung di sebalik nama pusat Tahfiz, madrasah dan rumah anak yatim serta menggunakan pelajar sekolah untuk mengutip derma sehingga ke pukul 3 pagi setiap hari.
  
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jais Hardi Mohamad Sadali berkata aktiviti sindiket mengutip derma itu terbongkar selepas lapan individu termasuk tiga rakyat asing ditahan dalam operasi kutipan derma tanpa kebenaran di Seksyen 9, 11, 17, 18 dan 19 di sini, hari ini.
  
Beliau berkata mereka yang ditahan berumur antara 16 dan 50 tahun kerana didapati menjalankan aktiviti mengutip derma tanpa kebenaran Jais dan di kawasan yang tidak dibenarkan.
  
"Siasatan kami mendapati ada yang berselindung di sebalik sindiket yang menggunakan pelajar sekolah yang dihantar sejak awal pagi hingga ke pukul 3 pagi keesokannya malah ada yang dipercayai dipergunakan oleh sebuah ajaran yang meragukan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
  
Hardi berkata operasi yang diketuai Penolong Pengarah Unit Perundangan dan Kesalahan Jais Zaaba Zakaria itu turut merampas beberapa barangan yang dijual oleh mereka yang ditahan seperti cakera padat karaoke, madu dan ubat-ubatan tradisional.

Beliau berkata turut dirampas ialah resit, tabung derma dan surat kebenaran kutipan yang tidak sah.
  
"Kesemua yang ditahan akan diambil kenyataan untuk tujuan siasatan sebelum tindakan selanjutnya dan dibebaskan," katanya.
  
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) yang memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
  
Beliau berkata Jais memang ada mengeluarkan kebenaran untuk mengutip derma tetapi perlu mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu tidak dibuat di tempat awam seperti di restoran dan bank.
  
Ditanya mengenai pembabitan kumpulan ajaran dipercayai sesat dalam sindiket itu, Hardi tidak menolak kemungkinan itu dan berkata perkara itu masih di peringkat siasatan.
  
"Kami masih menyiasat malah ada mereka yang ditahan memaklumkan mereka mengutip derma untuk aktiviti kumpulan berkenaan dengan menjual produk mereka," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: